Ahmad Zahid ikrar bebaskan Najib

Iklan
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan pengulunggan pada Perhimpunan Agung UMNO 2024.

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikrar untuk membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan perkara itu melalui bacaan puisi khas ditujukan khas kepada bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan di hadapan lebih 6,000 perwakilan bagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang menutup tirainya pada Sabtu.

Iklan
Iklan

"Sahabatku..Tiada yang lebih meruntun hati, apabila mengenang pada saat dan ketika ini

Dirimu terkurung di sebalik jeriji besi bertemankan tembok dingin dan sepi..Mengundang resah dan rindu kami..Akan sosok tubuhmu yang sering menemani.

Iklan

"Sahabatku..Sebagai bukti sahabat sejati, ku ikat diriku dengan ikrar dan janji,

Ku susun langkah dengan bestari bagi memastikan engkau kembali bersama ke pangkuan kami. Moga terbuka semua pintu hati dan moga usaha kami diredhai Illahi,” katanya.

Iklan

Beliau membacakan puisi itu semasa sesi penggulungan presiden sempena PAU 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Sabtu.

Nukilan Ahmad Zahid melalui ‘Puisi Buat Sahabat’ itu turut mengundang sedih semua perwakilan di dalam Dewan Merdeka yang menjadi tempat keramat setiap kali perhimpunan parti Melayu terbesar negara ini berlangsung.

Menurut Ahmad Zahid, dirinya tidak pernah sesekali lupa perjuangan yang diharungi bersama bekas Presiden UMNO itu dalam membangunkan parti.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu banyak mencurah tenaga dan fikiran untuk melakukan yang terbaik demi perjuangan parti.

"Sahabatku...Saat kita mula mengatur langkah, kau ada dihadapanku menunjuk arah, kau tabah mengimami jemaah, kau kukuhkan ikatan ukhuwah.

"Sahabatku..tatkala kau duduk di empuknya kerusi kuasa, kau sentiasa bingkas berdiri membela nasib anak bangsa. Kau perah keringat menabur jasa ibarat lilin membakar diri menerangi gelita,” katanya.

Isu mengenai pembebasan Najib menjadi antara topik hangat dibangkitkan perwakilan yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan kali ini.

Perwakilan Pahang antaranya meminta kepimpinan tertinggi UMNO memberi penjelasan sama ada wujud atau tidak Titah Adendum agar Najib Tun menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Setiausaha Pemuda UMNO Pahang, Mohd Azly Norzan berkata, ini kerana perkara tersebut masih tergantung dan mencetuskan persoalan sehingga kin

Sebelum ini, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Susulan itu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.

Titah Adendum berkenaan supaya bekas Perdana Menteri itu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Sementara itu, Mohd Azly menambah, kepimpinan tertinggi parti juga perlu memberi jawapan sama ada Titah Adendum yang ditunjukkan kepada Ahmad Zahid itu sah atau sebaliknya.

"Saya menyeru kepada semua kepimpinan tertinggi Pemuda UMNO supaya membawa usul Pemuda Pahang ini ke atas dan pastikan persoalan yang kami perjuangkan ini ada jawapan,” katanya.