Tanah jerlus Masjid India: Operasi SAR ditangguh, tiada petunjuk baharu

Iklan
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada Sabtu menjalankan pemeriksaan di dalam lubang di Masjid India, di mana seorang wanita warganegara India dipercayai telah terjatuh sebelum tertimbus oleh tanah mendap. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India belum menemui sebarang petunjuk setakat hari kedua operasi.

Ketua Polis Daerah Dang Wang, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, pencarian mangsa ditangguhkan pada jam 7 malam, Sabtu dan akan disambung semula pada Ahad bermula jam 8 ke 9 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua enam lurang kumbahan yang difokuskan dalam pencarian mangsa telah selesai diperiksa sebelum operasi ditangguhkan.

"Ia termasuk baki dua lurang kumbahan selain kolam terakhir di Pantai Dalam namun tidak menemukan sebarang petunjuk kedudukan mangsa.

Iklan

"PDRM bersama agensi lain akan meneruskan lagi perbincangan untuk langkah seterusnya yang akan diambil sehingga mangsa ditemui," katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian pada Sabtu.

Katanya, operasi pencarian akan diteruskan di lokasi sama susulan itu dikenal pasti merupakan laluan mangsa dihanyutkan.

Iklan

"Enam lurang kumbahan tidak dikeluarkan dari lokasi skop pencarian dan akan dilakukan pemeriksaan semula jika perlu.

"Setakat ini, tiada penambahan lurang kumbahan lain dan langkah seterusnya akan diadakan perbincangan bersama agensi lain," katanya.

Mengulas berkenaan kaedah pencarian, katanya, pasukan penyelamat mengunakan segala kaedah dan kepakaran sedia ada dalam usaha mengesan mangsa.

"Segala teknologi dan kepakaran diguna pakai, ada kaedah tidak digunakan kerana berkait isu teknikal.

"Ada banyak cabaran dihadapi susulan lurang kumbahan sempit dan mengandungi gas dan kita juga memikirkan risiko keselamatan pasukan penyelamat," katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini kesemua pasukan penyelamat dilaporkan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan sepanjang hari kedua operasi pencarian.