SUSULAN wabak koronavirus yang melanda baru-baru ini, beberapa syarikat automotif tampaknya prihatin dengan bangkit dan tampil membantu.
Antara syarikat gergasi yang menghulurkan bantuan ialah Ford Motor. Syarikat gergasi Amerika Syarikat itu memanggil beberapa kumpulan pekerjanya di Jiangling Motor, rakan kongsi Ford di China untuk menukarkan 600 unit Ford Transit kepada varian ambulans khas.
Automotive News China melaporkan, SAIC Motor dan Beiqi Foton Motor turut melakukan perkara sama yang mana mereka menghantar bantuan ambulans ke daerah Wuhan.
Sementara itu, Daimler, BMW, Toyota dan Honda bertindak dengan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak 5 juta yuan hingga 26 juta yuan kepada yayasan-yayasan yang terlibat di sana.
"Dongfeng Motor dan GAC Motor turut memberikan bantuan kewangan untuk penduduk di Hubei dan Wuhan.
"Kebanyakan pengedar kenderaan masih menutup dewan pameran mereka untuk meminimumkan risiko wabak itu merebak," lapor Automotive News China baru-baru ini.
Untuk makluman, Wuhan juga mempunyai beberapa kilang pemasangan kenderaan, termasuk milik PSA Group, Renault, Nissan, Honda dan General Motors.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan koronavirus adalah keluarga besar virus yang menyebabkan penyakit daripada selesema biasa kepada gejala yang lebih berbahaya seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV).
Virus itu sudah tersebar di seluruh China dan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis dan Australia.