Saran guna sistem lebih canggih

Iklan
Kerajaan perlu mengkaji semula sistem pengurusan keluar masuk dengan meningkatkan keupayaan sistem yang sedia ada. Foto 123RF (Gambar kecil: Shahul Hamid)

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerajaan menggunakan sistem lebih canggih di pintu keluar masuk negara terutamanya di lapangan terbang bagi mengelakkan sebarang ketirisan atau kelompangan yang berlaku.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, kerajaan perlu mengkaji semula sistem pengurusan keluar masuk dengan meningkatkan keupayaan sistem yang sedia ada.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sistem sedia ada sekarang tidak mencukupi dalam urusan kemasukan warga asing.

"Sebelum ini sudah ada perancangan untuk melaksanakan sistem pendahuluan pelepasan penumpang (passenger advance clearance) yang mana sebelum mana-mana individu masuk ke negara ini, kita sudah tahu maklumat secara lengkap berkaitan individu berkenaan.

Iklan

"Sistem ini secara langsung akan mengelakkan risiko berlakunya ketirisan atau sebarang unsur rasuah,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurutnya, apabila ada maklumat berkaitan ia akan tertera dalam sistem sekali gus mengelakkan sebarang unsur ketidaktelusan di kaunter kemasukan.

Iklan

Katanya, sistem sebegini juga dapat mengelakkan mana-mana individu yang memiliki rekod jenayah memasuki negara ini dan memastikan urusan di pintu keluar masuk negara lebih lancar.

Shahul Hamid berkata, soal keselamatan perlu seiring dengan kecanggihan sistem yang diletakkan.

"Keselamatan adalah perkara utama kerana ia amat penting bagi negara, kita tidak mahu dalam soal memudahkan urusan keluar masuk, sesiapa sahaja boleh memasuki negara ini.

"Selain itu, isu berkaitan integriti juga perlu dititik beratkan, terutamanya dalam soal penggiliran tempat bertugas.

"Seseorang pegawai penguat kuasa tidak boleh diletakkan terlalu lama di sesebuah tempat, mesti kena ada had pada tempoh tertentu,” katanya.

Sebelum ini, SPRM menahan 12 individu termasuk lima penguat kuasa hasil operasi di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan pada Selasa lalu.

Tangkapan suspek berusia antara 20-an hingga 50-an termasuk tiga wanita itu hasil risikan SPRM sejak 2022 dan dikesan terdapat kemasukan wang lebih RM4 juta bagi urusan kemasukan warga asing.

Laporan khas Sinar Harian pada Khamis melaporkan pegawai yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2) dipercayai menerima habuan RM500 hingga RM2,500 daripada sindiket untuk melepasi pemeriksaan melalui ‘kaunter khas’.

Bayaran rasuah yang dibayar itu adalah berbeza mengikut kewarganegaraan.

Bayaran rasuah paling rendah sekitar RM500 bagi warga Uzbekistan manakala paling tinggi pula ialah RM2,500 bagi warga Bangladesh.

Bagi mengelakkan komunikasi mereka dikesan, penguat kuasa dan sindiket berkenaan turut menggunakan beberapa kod nama khas seperti school boy, salak, limau, laici, karpet, kicap, roti canai, junta dan ayam.

Ini merujuk kepada kumpulan warga asing yang akan masuk ke negara ini bagi urusan di laluan ‘kaunter khas’ yang telah diatur.

Selain itu, sindiket turut menggunakan kod sulit iaitu ‘lembu’ yang merujuk kepada pembayaran wang rasuah manakala kod nama ‘durian’ merujuk kepada upah.