TANAH MERAH - Keamanan Malaysia kini merupakan hasil kesungguhan anggota keselamatan yang sentiasa berusaha menjaga sempadan negara terutama dalam tempoh peperangan menentang tentera Jepun dan penjajahan British.
Kekuatan tentera negara tidak boleh dipertikai kerana mereka sudah membuktikan kejayaan membebaskan rakyat dari belenggu penjajah.
Justeru, bekas anggota tentera udara, Lee Kee Liang, 83, berbangga kerana terpilih menjadi sebahagian daripada anggota keselamatan walaupun hanya berpangkat koperal.
"Saya hanya berpangkat rendah dan tidak memandu jet, helikopter atau kenderaan udara tetapi gembira kerana menjadi sebahagian anggota tentera negara," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Belimbing pada Sabtu.
Menurut Kee Liang, walaupun tidak berjuang ketika negara diserang tentera Jepun namun beliau bertugas menjaga keamanan negara ketika Konfrontasi Indonesia-Singapura 1962.
"Ketika serangan Jepun, usia saya hanya beberapa bulan sahaja tetapi kepayahan keluarga menghadapi perang itu bukan alasan untuk menolak menyertai pasukan tentera," katanya.
Kongsinya lagi, konflik dalam tempoh konfrontasi membimbangkan kerajaan yang terus memberi arahan supaya semua anggota keselamatan berjaga-jaga bagi mengelakkan peperangan atau perhimpunan.
"Kami ketika itu berpangkalan di Singapura tetapi saya ditugaskan di kawasan utara Butterworth, Pulau Pinang," katanya.
Jelas Kee Liang, lebih 100 anggota tentera yang dikerah bertugas bersamanya hanya tidur di kawasan jalan dan perkampungan namun mereka melakukan tugas dengan baik sehingga tamat tahun 1966.
"Bagaimanapun semuanya selamat dan tiada pergelutan serius atau perang di kawasan kami ditugaskan walaupun ada dilaporkan beberapa anggota keselamatan yang cedera," katanya.
Kee Liang yang berasal dari Taiping, Perak menyertai tentera udara pada tahun 1959 pada usia 18 tahun bersara pada 1964.
"Saya bertugas sebagai anggota tentera selama lima tahun dan kemudian menyertai pasukan pengurusan tetapi perlu juga turun ke lapangan untuk melakukan kerja-kerja berkaitan.
"Undang-undang dalam ketenteraan sangat ketat dan kami semua mematuhinya tanpa banyak alasan," katanya.
Bapa kepada dua anak berusia antara 46 dan 49 tahun itu memberitahu, tiada anak yang mengikut jejak langkahnya sebagai anggota tentera dan lebih berminat memilih pekerjaan sendiri.
Kini Kee Liang yang sudah tidak mampu melakukan kerja-kerja berat hanya menghabiskan masa di rumah bersama isteri, Soon Siew Ho, 74.
"Negara kita kini lebih aman hasil daripada pengorbanan anggota keselamatan terdahulu. Kita hidup harmoni tanpa mengira kaum," katanya.