RATA-rata penyokong skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), tidak menyangka skuad Harimau Selatan itu akan menang besar menewaskan Selangor FC, pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu.
Tinjauan Sinar Harian di salah sebuah lokasi skrin gergasi (big screen) sekitar Johor Bahru pada Sabtu bagaimanapun mendapati rata-rata penyokong JDT, berpuas hati dengan kemenangan tersebut.
Bagi Mohamad Syarifuddin Kamarul Zaman, 35, dia sememangnya tidak menjangka JDT akan menang besar ketika berdepan skuad Merah Kuning itu pada aksi final kali ini.
Bagaimanapun katanya, kesemua pemain skuad Harimau Selatan itu telah mempamerkan aksi terbaik di sepanjang perlawanan untuk bergelar juara.
"Saya tak sangka pulak JDT bermain dengan baik; saya ingatkan daripada separuh masa pertama 2-0 dan ingatkan sampai akhir perlawanan 2-0.
"Tak sangka pula sampai 6-1 malam ni (Sabtu). Apa pun, diucapkan tahniah kepada JDT kerana menjuarai Piala FA tahun ni,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi penyokong JDT, Nurul Azilawati Ibrahim, 23 turut mengakui tidak menyangka skuad Harimau Selatan itu akan menang besar menewaskan Selangor FC pada aksi final Piala FA kali ini.
Namun katanya, momentum kemenangan tersebut diharap berterusan bagi memastikan JDT akan memenangi lebih banyak piala selepas ini.
"Malam ni kita orang datang sini tengok Piala FA JDT lawan Selangor, (FC) dan tak sangka boleh menang besar malam ni.
"Harap lepas ni JDT boleh (lebih meningkat) la...ke next step (fasa) pula. Tahniah JDT. Pemain Selangor (FC) pun main dengan baik, jadi JDT tak ‘kosong’lah,” katanya.
Sementara itu bagi Sahul Hameed, 48, kesemua pemain JDT telah mempamerkan aksi yang terbaik di sepanjang perlawanan hingga mampu menghasilkan kemenangan besar kali ini.
Malah katanya, suasana di lokasi juga menggambarkan bahawa kesemua penyokong JDT yang menyaksikan aksi final tersebut gembira dengan kemenangan tersebut.
"Malam ini pemain JDT main dengan dahsyat dan hebat, sampai menang besar. Penyokong pun agak ramai tengok perlawanan ini,” katanya.