NAIB juara musim lalu Arsenal meneruskan momentum positif apabila melakar kemenangan kedua liga selepas mengatasi Aston Villa, 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Stadium Villa Park.
Kemenangan kedua selepas menjinakkan Wolves, 2-0 hasil jaringan Kai Havertz dan Bukayo Saka di Stadium Emirates pada 17 Ogos lalu bagaimanapun tidak hadir mudah ketika anak buah Mikel Arteta berdepan tekanan setiap babak angkatan Unai Emery yang dijelmakan Ollie Watkins.
The Gunners hanya berjaya merobek gawang The Villans yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas West Ham United, di Stadium London 17 Ogos lalu bermula dengan jaringan pemain gantian Leandro Trossard (m-67) juga gol keenam bermula dari bangku simpanan daripada 14 gol liga.
Thomas Partey (m-77) kemudiannya mematikan sebarang kebangkitan tuan rumah apabila menyempurnakan sentuhan Saka untuk tiga mata dibawa keluar dari Villa Park.
Kemenangan itu juga menebus kehampaan sebelum ini ketika Arsenal tunduk kepada Villa dua kali musim lalu, kekalahan yang menamatkan peluang angkatan Arteta untuk memenangi kejuaraan liga.
"Momentum daripada permulaan yang sentiasa baik, terutamanya untuk motivasi pemain-pemain ketika anda memasuki musim baharu.
"Biarpun begitu masih terlalu awal untuk meramalkan apa yang akan berlaku pada penghujung musim, tetapi yang pasti apa yang kami sasarkan, adalah untuk memenangi perlawanan," kata Trossard.
Arsenal selepas ini akan melayan kunjungan kelab sedang meningkat naik Brighton manakala Aston Villa akan berkunjung ke Stadium King Power menentang Leicester City.