MBI akan rujuk Jabatan Mineral dan Geosains atasi tanah jerlus

Iklan
Rumaizi (kiri) melepaskan peserta Perarakan Hari Kebangsaan sempena Program Hari Rendah Karbon Ipoh di Jalan Sultan Abdul Jalil pada Ahad.

IPOH - [DIKEMAS KINI] Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan merujuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkaitan risiko kejadian tanah jerlus di kawasan bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya akan menjalankan kerja-kerja pemetaan utiliti di sekitar Bandaraya Ipoh menerusi kerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri Perak iaitu Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR).

Iklan
Iklan

Menurutnya, beberapa titik panas tanah jerlus telah dikenal pasti dan usaha mengesannya masih diteruskan.

"Kita pun macam Kuala Lumpur sebab bawah kita pun batu kapur, sama. Bila-bila masa kalau hujan lebat macam ini boleh berlaku (tanah jerlus), kita doa supaya ia tak berlaku.

Iklan

"Hotspot memang ada banyak, di Ipoh ini ada puluhan hotspot. Ada yang kita sudah kenal pasti dan kita tengah cari. Itu yang kita bekerjasama dengan KUDR, sekarang kita tengah cari," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Hari Rendah Karbon Ipoh di Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada Ahad.

Rumaizi berkata, pihak MBI telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan KUDR dan tempoh percubaan untuk syarikat tersebut melaksanakan kerja-kerja berkaitan utiliti telah pun dimulakan sejak 1 Julai lalu sehingga 31 Disember tahun ini.

Iklan

Menurutnya, pemantauan ketat terus dijalankan bagi mengelak kejadian seperti di Kuala Lumpur.

"Kita dengan KUDR ini, kita kenal pasti (lokasi berpotensi berlaku lubang benam), selepas tahu tempat itu kita akan rujuk dengan pakar terutama JMG kita tengok macam mana nak atasi.

"Alhamdulillah setakat ini jalan dan tempat-tempat di Ipoh masih selamat tetapi bergantung pada cuaca kalau situasi normal tak ada masalah," katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan seorang wanita warga India berusia 48 tahun terjatuh ke dalam kejadian lubang tanah jerlus berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Rumaizi bersama seramai kira-kira 3,500 warga Bandaraya Ipoh hadir menyertai Hari Rendah Karbon Ipoh.

Perarakan Hari Kebangsaan telah menghiasi program tersebut dengan penyertaan seramai 300 anak-anak dari Persatuan Taska Perak yang ditemani keluarga dan guru masing-masing.

Sebanyak 20 institusi telah mengambil bahagian di dalam program kali ini yang bersesuaian dengan Tema Malaysia Madani Jiwa Merdeka dipilih untuk menjayakan Program siri ke-72 ini.

Penganjuran kali ini juga telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran National Stroke Association of Malaysia (NASAM) yang telah menganjurkan Larian Amal NASAM Step Forward For Stroke 2024.