Tanah jerlus: Pasukan penyelamat tumpu dua lurang kumbahan hari ini

Iklan
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia giat meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga India yang menjadi mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini disambung pagi ini selepas ditangguhkan pada 7 malam tadi.

Operasi pencarian yang bermula pada kira-kira 9.30 pagi itu ditumpukan di lurang kedua di Jalan Melayu dan ketiga di persimpangan Jalan Melayu.

Iklan
Iklan

Semalam, enam lurang kumbahan sekitar lokasi SAR di hadapan Malayan Mansion dibuka secara berperingkat selepas usaha pencarian di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh menemui jalan buntu.

Difahamkan, operasi SAR hari ini melibatkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Indah Water Konsortium.

Iklan

Tinjauan Bernama mendapati ahli keluarga berada di lokasi kejadian seawal 8 pagi dan anak lelaki mangsa yang dikenali sebagai Surya, 26, diberikan penerangan berhubung operasi itu dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam berbangsa India yang bertindak sebagai jurubahasa.

Pengamal media turut berada di lokasi kejadian sejak 8 pagi untuk membuat liputan pencarian wanita warga India terbabit yang memasuki hari ketiga.

Iklan

Pemerhatian Bernama mendapati kebanyakan peniaga berdekatan lokasi itu tidak membuka premis perniagaan mereka.

Jumaat lepas, mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada 8.22 pagi.

Mangsa, yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, sedang berjalan kaki di kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian. - Bernama