SEJAK kebelakangan ini, motosikal Yamaha Y15ZR atau lebih dikenali sebagai Ysuku menjadi dambaan ramai 'kaki motor' di Malaysia.
Kepopularannya boleh dikatakan memenangi hati pelbagai peringkat umur. Jentera tersebut juga kini mendapat permintaan yang sangat tinggi. Dalam erti kata lain ‘geng Ysuku’ menjadi trend dan fenomena.
Pun begitu, seperti lazimnya, salah satu tabiat buruk pengguna jentera adalah kerap mengabaikan rutin penyenggaraan. Sedangkan, sebagai pengguna motosikal, urusan penting sedemikian seharusnya diambil peduli.
Justeru pada minggu ini, dengan fokus pada spesifikasi standard, Sinar Turbo kongsikan beberapa tip asas penjagaan jentera Yamaha Y15ZR.
Input tip tersebut adalah berdasarkan pengalaman yang dikongsi oleh Elhani Bikers Trading yang acap menerima kes motosikal pelanggan yang berdepan hal penalaan, suntikan bahan api dan lain-lain khususnya pada Yamaha Y15ZR.
1. Minyak enjin.
Yamaha Y15ZR mempunyai struktur enjin yang hampir sama dengan model terdahulunya iaitu Yamaha LC 135 dan Yamaha FZ150i.
Seperti yang termaktub oleh pihak pengilang Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLY), minyak enjin disyorkan sendiri HLY ialah dengan kelikatan 20W40@20W50.
Mahal tidak semestinya bagus. Bagi Yamaha Y15ZR berkapasiti 150cc (berkuasa kecil), 90 peratus penunggang selalunya akan menujah pada revolusi per minit (RPM) tinggi. Jadi, minyak enjin dengan kelikatan itu ialah pilihan yang tepat.
Anggaran harga minyak enjin itu pula hanya dalam lingkungan bawah RM30. Terdapat pelbagai pilihan jenama seperti 15W50 dan 20W50 dengan selang perubahan minyak (OCI) 1,500 kilometer (km). Pengguna boleh menyukat mana yang akan cepat susut.
2. Penalaan/ penyesuaian bahan api
Terserah pada bajet dan keperluan pengguna sama ada mahu penyesuaian bahan api (fuel adjustment) pada Unit Kawalan Elektrik (ECU) standard menggunakan alat Diagnostik Suntikan Bahan Api (FID tools) ataupun menukar ECU aftermarket.
Penyesuaian bahan api perlu bagi memastikan jentera berada dalam tetapan yang sempurna dan sentiasa selamat untuk ditunggang.
3. Palam pencucuh
Adakah plag yang mahal itu bagus dan menjamin prestasi motosikal? Jawapannya mudah sahaja.
Dalam dunia permotoran, sebenarnya sebarang alat ganti yang dikategorikan sebagai alat ganti berprestasi tinggi, tiada istilah 'plag dan main' (plug and play).
Semuanya harus dilaraskan semula. Seperti Yamaha Y15ZR, pengguna disarankan memakai plag berjenama seperti NGK CR8E, CR9E. Plag biasa berharga sekitar RM10 hingga RM20 sahaja.
Walaupun menggunakan plag biasa, penyesuaian bahan api perlu dibuat bagi memastikan keperluannya mencukupi dan pembakaran sempurna dalam enjin.
Jika pengguna ingin memakai plag berprestasi tinggi (racing) seperti Plag NGK CR8EIX, CR9EIX (NGK iridium) atau Brisk Premium dengan anggaran harga sekitar RM80, pastikan jentera ditala.
Itu boleh dilakukan sama ada dengan ECU standard menggunakan FID tools ataupun ECU aftermarket dengan menggunakan wideband tune atas jalan atau run dyno.
Bahan api yang tidak cukup akibat penggunaan alat ganti berprestasi tinggi boleh menyebabkan penggunaan bahan petrol terjejas. Itu seterusnya menyebabkan enjin gagal berfungsi dengan lancar (knocking).
Lebih parah, kesan jangka panjang pada enjin boleh mengakibatkan blok calar, injap bocor dan sebagainya.
4. Sensor (Lean Angle Sensor)
Untuk pengetahuan, Yamaha Y15ZR mempunyai teknologi motosikal berkuasa tinggi iaitu Lean Angle Sensor. Tujuan asalnya untuk mematikan enjin semasa mengalami kemalangan motosikal pada sudut yang tertentu.
Pun begitu, apa yang menjadi masalah apabila motosikal terjatuh ketika parkir atau gagal diseimbangkan. Kongsi Elhani Bikers Trading, terdapat kes, Y15ZR yang ditunggang laju tiba-tiba terlanggar bonggol atau lubang, dengan serta-merta enjinnya mati dan tidak boleh dihidupkan.
Apa yang perlu dibuat jika itu berlaku?
- -Error code 30 & 41 akan 'naik' dalam sistem ECU motosikal.
- -Biarkan motosikal seketika dan cuba hidupkan seperti biasa.
- -Jika masih tidak boleh dihidupkan, cabut lean angle sensor, goncang dan pasang semula.
- -Bagi pemilik ECU standard, 'clearkan' Error code 30 & 41 menggunakan FID tools dan segera pergi ke bengkel-bengkel yang berdekatan.
5. Cara menunggang
Yamaha Y15ZR ialah roda dua yang berkuasa sederhana. Apabila menunggang dalam kelajuan 125 hingga 130 km per jam, secara tidak langsung RPM berada dalam julat 9,000 ke 10,000.
Jadi, beringatlah semasa menunggang. Kerapkanlah periksa paras minyak enjin dan penyejuk motosikal untuk menggelakkan berlakunya enjin terlalu panas.
Elak menunggang pada RPM tinggi dengan gear yang rendah. Penggunaan RPM tinggi pada gear rendah boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian enjin terutamanya bearing dan omboh (piston).
Pendek kata, elakkan 'main pickup' atau 'main top'. Itu ayat yang paling mudah difahami oleh geng Ysuku, bukan?