Mpox: Rakyat berkunjung ke negara berisiko perlu lapor

Iklan
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) meminta rakyat di negeri ini untuk memaklumkan sebarang perjalanan ke negara-negara berisiko wabak Mpox atau cacar monyet sebagai langkah pencegahan. Gambar kecil: Dr Zaini

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) meminta rakyat di negeri ini untuk memaklumkan sebarang perjalanan ke negara-negara berisiko wabak Mpox atau cacar monyet sebagai langkah pencegahan.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata, setakat ini, belum ada kes berkaitan wabak itu direkodkan di negara ini mahupun Kelantan, namun pihaknya membuat persediaan awal bagi menggelak penularan wabak.

Iklan
Iklan

"JKNK turut menempatkan petugas-petugas di pintu-pintu masuk sempadan Kelantan-Thailand termasuk di Pengkalan Kubor, Tumpat dan Rantau Panjang, Pasir Mas setiap hari untuk menjalankan saringan kesihatan ke atas pelancong dari negara berisiko Mpox.

"Selainnya, jika ada pelancong-pelancong atau pun rakyat Kelantan yang berkunjung ke negara-negara berisiko jangkitan, boleh memaklumkan kepada pihak JKNK untuk mengambil langkah-langkah pencegahan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2024 bersama warga Wisma Persekutuan, di sini, pada Ahad.

Iklan

Turut hadir merasmikan majlis itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Kelantan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Jasri Kasim.

Dua hari lalu, Jabatan Kawalan Penyakit Thailand mengesahkan kes mpox pertama di negara terbabit adalah strain clade 1b virus pada warga Eropah berusia 66 tahun.

Iklan

Pesakit terbabit disahkan menghidap Mpox selepas melakukan perjalanan dari sebuah negara Afrika yang terdapat wabak Mpox, dan kemudiannya transit di negara Timur Tengah sebelum tiba di Thailand pada 14 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Dr Zaini memberitahu, pihaknya juga membuat persediaan melibatkan fasiliti hospital bagi memberi rawatan segera sekiranya ada yang dijangkiti wabak berkenaan di negeri ini.

"Hospital-hospital kita sekarang ini memang dah bersedia untuk sebarang kemungkinan seperti persediaan bilik isolasi dan sebagainya.

"Semua kakitangan juga sudah dimaklumkan dan meneliti prosedur operasi standard atau garis panduan untuk pengendalian kes-kes mpox seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.