Malaysia pertimbang tambah bantuan rawat rakyat Palestin - PM Anwar

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Perasmian Muktamar Masjid SeMalaysia Untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 1446H/2024M di Masjid Wilayah Persekutuan pada Ahad. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia akan mempertimbangkan untuk menambah bantuan membantu merawat rakyat Palestin yang cedera, sekiranya terdapat keperluan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, bagaimanapun setakat ini, kerajaan tidak mempunyai sebarang perbincangan mengenai fasa seterusnya, untuk membantu warga Palestin yang cedera.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, (fasa seterusnya) tidak ada perkembangan, sebabnya fasa pertama adalah perubatan (rakyat Palestin cedera yang dibawa ke Malaysia), yang telah baik (sembuh) akan dihantar balik. Jadi kita ambil pendekatan aman dan tenang sekejap.

"Kita nanti (akan) runding dengan Mesir yang telah menampung, Arab Saudi, Turkiye, Qatar, kita tengok kalau ada keperluan kita boleh bincang dan setakat ini kita nak rawat dan bagi diorang (mereka) sihat dahulu. Kita akan bincang dan sekarang terlalu awal,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi ini.

Pada 15 Ogos, Malaysia menerbangkan 41 rakyat Palestin yang cedera termasuk bayi berusia lapan bulan untuk menerima rawatan lanjut di sebuah hospital tentera di negara ini, menerusi misi kemanusiaan kendalian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) dari Kaherah ke Kuala Lumpur.

Iklan

Muktamar itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan timbalannya Dr Zulkifli Hasan, serta Pengerusi Bersama Penganjuran Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin Datuk Seri Ahmad Awang.

Kira-kira 1,000 wakil masjid dan NGO, duta perwakilan asing, para ulama serta pemerhati dari beberapa negara, hadir dalam muktamar anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama beberapa pihak lain iaitu Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia. - Bernama