Pembantu pelancong rugi RM163,731 ditipu sindiket pekerjaan tak wujud

Iklan
Mangsa telah berurusan dengan seorang suspek melalui aplikasi WeChat bagi penawaran kerja sambilan sejak Mei lalu. Foto hiasan 123RF

BATU PAHAT - Terpedaya dengan ganjaran berlipat kali ganda daripada sindiket menawarkan kerja sambilan tidak wujud, seorang pembantu pelancong rugi lebih RM160,000.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mangsa telah berurusan dengan seorang suspek melalui aplikasi WeChat bagi penawaran kerja sambilan tersebut sejak Mei lalu.

Iklan
Iklan

"Mangsa adalah seorang lelaki berusia 39 tahun. Ketika berurusan di aplikasi WeChat, mangsa telah diminta membeli beberapa barang daripada laman sesawang diberikan dengan ditawarkan keuntungan berlipat ganda.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu, melakukan melakukan pemindahan wang ke dalam 18 akaun berbeza secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM163,731 sejak 28 Mei hingga 28 Julai lalu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurut Shahrulanuar Mushaddat, suspek terus meminta mangsa membuat pembayaran lain walaupun sudah melakukan pemindahan wang.

"Suspek meminta mangsa membuat pembayaran lain terlebih dahulu jika ingin mendapatkan keuntungan hasil pekerjaan atau pembelian barangan.

Iklan

"Ia membuatkan mangsa mula curiga dan mengesyaki dirinya ditipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam pada Sabtu," ujarnya.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya tawaran kerja sambilan di media sosial yang menjanjikan pulangan keuntungan atau komisen tinggi.