Anwar terima kunjungan hormat Menteri Luar Brazil

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Luar Brazil Mauro Vieira di Kompleks Seri Perdana, hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar Brazil Mauro Vieira di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Vieira tiba di Seri Perdana pada 11 pagi.

Iklan
Iklan

Beliau tiba di Malaysia semalam bagi mengadakan lawatan rasmi dua hari, yang juga merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini sebagai Menteri Luar, sejak menyandang jawatan itu pada 1 Januari tahun lepas.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri Liew Chin Tong.

Iklan

Brazil merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin.

Pada 2023, Malaysia dan Brazil mencatatkan jumlah dagangan sebanyak RM17.46 bilion, iaitu peningkatan sebanyak empat peratus berbanding RM16.86 bilion yang dicatatkan pada 2022.

Iklan

Sementara itu, menerusi perkongsian di laman Facebook, Anwar berkata, pertemuan dalam suasana persahabatan itu menyentuh soal pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Brazil terutama perdagangan dan pelaburan termasuk bidang semikonduktor serta industri petroleum dan gas.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan penyertaan Malaysia dalam beberapa inisiatif di bawah Kepengerusian G20 Brazil tahun ini.

"Saya turut menekankan kepentingan menjadikan hubungan Malaysia-Brazil sebagai model kerjasama efektif dalam kalangan negara-negara Selatan Global.

"Antara bidang yang boleh diterokai bersama ialah pendidikan, penyelidikan dan pembangunan, sosioekonomi seperti perumahan dan pembasmian kemiskinan serta kesenian dan kebudayaan,” katanya.

Anwar dan Vieira juga bertukar pandangan berkaitan perkembangan serantau khususnya krisis kemanusiaan di Gaza, konflik Rusia-Ukraine serta isu di Venezuela dan Myanmar.

Perdana Menteri berkata, beliau turut membangkitkan permohonan Malaysia untuk menyertai BRICS (Brazil, Rusia, India, China serta Afrika Selatan) dan Vieira telah memberi jaminan bahawa Brazil akan berusaha bersungguh-sungguh ke arah merealisasikan penyertaan negara dalam blok ekonomi itu.

Semasa pertemuan itu, Vieira menyampaikan jemputan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva kepada Anwar untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro pada November depan. - Bernama