KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh dalam lubang tanah jerlus di Jalan Masjid India, menumpukan di dua lurang kumbahan di Jalan Melayu dan persimpangan Jalan Melayu di sini, pada Ahad.
Operasi SAR itu disambung semula pada hari ketiga kira-kira jam 9.30 pagi.
Operasi SAR membabitkan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Indah Water Konsortium (IWK).
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman bersama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat turut hadir kira-kira jam 9.56 pagi di lokasi kejadian.
Tinjauan mendapati ahli keluarga mangsa telah menunggu di lokasi kejadian pada jam 8 pagi.
Anak lelaki mangsa yang dikenali sebagai Surya, 26, dilihat diberi penerangan berhubung operasi dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berbangsa India sebagai jurubahasa.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kejadian seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter.
Laporan kejadian itu diterima JBPM Kuala Lumpur pada jam 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.