KAK fokus perkasa kebajikan ahli

Iklan
Hussamuddin (tengah) dan Rodli (enam dari kanan) bersama 50 ahli yang hadir Mesyuarat Agung keenam KAK di Dewan Karangkraf pada Ahad.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bukan sekadar mengukuhkan ukhuwah dan silaturahim, kini Kelab Alumni Karangkraf (KAK) lebih fokus bagi memperkasakan kebajikan setiap ahlinya.

Pengerusinya, Rodli Nayan berkata, perkara itu penting untuk membantu ahli yang berdepan kekangan kewangan dan cabaran hidup seperti sakit, kematian dan sebagainya.

Iklan
Iklan

"Ketika program-program ke arah mengukuhkan ukhuwah terus dimarakkan, sudah sampai masanya KAK memikirkan juga soal kebajikan.

"Buat masa ini, KAK telah menetapkan beberapa kaedah bantuan seperti kematian ahli (RM500), kematian ahli keluarga terdekat (RM300) dan bantuan masuk hospital (sekali sahaja RM200).

Iklan
Rodli

"Selebihnya, KAK mengambil inisiatif melancarkan tabung bantuan secara berkala, bergantung kepada kes semasa, contohnya tabung bantuan banjir, sumbangan Aidilfitri dan sebagainya.

"Sudah pasti ini tidak memadai kerana ia hanya bersifat 'one-off'," katanya kepada Sinar Harian selepas Mesyuarat Agung keenam kelab itu di Dewan Karangkraf, di sini pada Ahad.

Iklan

Turut hadir, Penasihat Kumpulan Karangkraf yang juga Penaung KAK, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Terdahulu, KAK ditubuhkan pada 2016 adalah satu organisasi menghubungkan dan memperkukuh jaringan antara bekas tenaga kerja yang pernah terlibat dengan Karangkraf.

Tambah Rodli, menjadi hasratnya untuk melihat KAK lebih proaktif dalam menjaga kebajikan 200 ahlinya ketika ini.

Ujar beliau, KAK terbuka bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sebagainya bagi menampung kewangan untuk melaksanakannya.

"Setakat ini, ada yang saya usahakan atas kapasiti peribadi dan ada ahli telah mendapat bantuan jangka panjang daripada LZS.

"Saya yakin jika menggunakan platform KAK lebih ramai ahli yang dapat dibantu.

"Pada masa sama KAK turut memohon bantuan disediakan kerajaan menerusi Tabung Hari Wartawan (HAWANA) dan setakat ini lapan ahli sudah menerima sumbangan.

"Kerjasama seperti ini perlu diperkukuhkan oleh KAK dalam usaha menjaga kebajikan ahli," katanya.

Jelas penulis separuh masa itu, KAK akan sentiasa berusaha menambah sumber bagi memperkukuhkan kewangan demi membantu sesama ahli.