Tak perlu jadi kaya untuk rancang urus harta

Iklan
She Leads 4: 'Don’t Go Broke in Your Golden Years' akan diadakan di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula jam 2 petang. Gambar kecil: Tasnim

SHAH ALAM - Menyedari kepentingan perancangan kewangan dan harta bagi golongan wanita sebagai persediaan ketika usia persaraan, program bual bicara anjuran Sinar Daily, She Leads siri keempat kembali dengan mengetengahkan topik 'Don’t Go Broke in Your Golden Years'.

Program yang bakal berlangsung pada 27 Ogos ini, menampilkan tiga panelis terkemuka iaitu Ketua Jabatan Polisi dan Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff ; Perancang Kewangan dan Harta, Erin Adlina Adnan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Trustees Bhd, Nor Fazlina Ghouse yang akan berkongsi kepakaran dalam menguruskan kewangan untuk masa depan serta mengatasi cabaran kewangan yang sering dihadapi oleh wanita.

Iklan
Iklan

Editor Sinar Daily, Tasnim Lokman berkata, istimewanya program kali ini adalah bersempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan dan Hari Kebangsaan pada bulan ini, seiring dengan matlamat untuk memberi pendedahan kepada golongan wanita agar tidak rasa terikat dengan orang lain bagi menguruskan sumber kewangan mereka.

Menurutnya, beberapa aspek yang diberi penekanan menerusi program berkenaan juga akan menjawab segala persoalan yang selama ini kurang diberi perhatian oleh golongan wanita.

Iklan
She Leads siri keempat akan berlangsung pada 27 Ogos ini.

"Ramai yang fikir hanya orang kaya perlu ambil kisah tentang perancangan kewangan dan harta sedangkan orang kebanyakan juga perlu ada ada perancangan yang baik dalam soal ini.

"Begitu juga wanita, mereka tak perlu jadi kaya untuk rancang ke mana wang atau harta patut disalurkan. Tetapi ia perlu dilakukan sesiapa sahaja tidak kira ketika masih muda atau sudah berusia sebagai jaminan kepada waris sekiranya dia meninggal dunia.

Iklan

"Jadi, penting untuk tahu apa perlu buat dengan duit yang ada, begitu juga perancangan masa depan.

"Perbincangan dalam program ini juga akan memberi penekanan aspek pelaburan untuk persaraan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

She Leads 4: 'Don’t Go Broke in Your Golden Years' akan diadakan di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf bermula jam 2 petang.

Antara persoalan yang akan dibincangkan adalah 'siapa yang akan menerima wang wanita selepas dia meninggal dunia?', 'siapa yang menguruskan wang wanita selepas kematiannya?', 'apa yang akan berlaku kepada wang wanita jika dia tidak mempunyai wasiat?', dan 'bagaimana seorang wanita boleh memastikan wangnya sampai kepada orang yang betul selepas kematiannya?'.

Mereka yang hadir juga akan didedahkan dengan ilmu pengetahuan mengenai wasiat serta kepentingannya selain mengenai amanah dalam membantu menguruskan wang selepas kematian.

Mengulas lanjut, Tasnim berkata, terdapat banyak lagi input program yang bakal memberi manfaat kepada penonton kerana wanita juga perlu tahu siapa yang patut dipilih untuk menguruskan wang dan hartanya selepas dia meninggal dunia.

Jelasnya, elemen penting lain yang turut menjadi fokus perbincangan adalah bagaimana undang-undang mempengaruhi siapa yang mewarisi wang serta harta peninggalan wanita.

"Selain manfaat daripada input topik yang dibincangkan, peserta juga berpeluang membina jaringan perhubungan dengan peserta lain terdiri daripada individu penting pelbagai industri,"katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai program ini boleh dapatkan Tiket berharga RM100 dan nikmati potongan 10 peratus untuk pembelian lebih sepuluh tiket.

Pembelian tiket boleh dibuat melalui laman web https://sheleads.sinardaily.my/product/dont-go-broke-in-your-golden-years/.

Pelbagai cenderahati istimewa menanti para peserta dan mereka berpeluang memenangi cabutan bertuah bernilai sehingga RM700.