KUALA LANGAT - Pekerja swasta dari Putrajaya hanya mengambil masa kira-kira 22 minit untuk menaikkan ikan Gemang seberat 1.440 kilogram bagi menjuarai pertandingan memancing Surfcasting Tour Pantai Kelanang di Banting di sini pada Ahad.
Kemenangan itu membolehkan bapa kepada dua cahaya mata, Izhar Nordin, 49, membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Menurut Izhar, beliau mula memancing di kawasan pantai itu pada jam 7.45 pagi dan 22 minit kemudian dapat merasakan umpan yang digunakan dimakan ikan.
"Saya tidak menunggu masa lama dan dalam tempoh tersebut saya berjaya menaikkan ikan Gemang dan tidak sangka ia adalah ikan paling berat berjaya dipancing dalam pertandingan ini,” katanya.
Izhar ditemui pemberita selepas menerima hadiahnya daripada Ahli Majlis Zon 18, Mat Irwan Mat Ismail pada majlis penyampaian hadiah acara itu di Pantai Kelanang, Banting di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah Parti Amanah Nasional (Amanah) Kuala Langat, Hasnul Baharuddin dan Pengasas Wak Jali Event Management, Md Zali Kasran.
Izhar yang minat memancing sejak remaja lagi berkata, ini adalah kemenangan terbesar buat dirinya bagi acara memancing kawasan pantai dan kemenangan itu amat berbaloi selepas menyertai banyak siri pertandingan memancing sebelum ini.
"Wang hadiah yang diterima ini akan saya gunakan untuk simpanan masa depan keluarga dan sedikit perbelanjaannya digunakan untuk menyertai siri pertandingan memancing di masa-masa akan datang," katanya.
Sementara itu, Md Zali yang juga merupakan penganjur pertandingan itu berkata, lebih 600 peserta menyertai acara itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM47,300.
Dalam pada itu, ujarnya, pihaknya juga menganjurkan pertandingan memancing Surfcasting Tour di luar negeri Selangor, antaranya Surfcasting Tour Terbuka di Pantai Kuala Sanglang, Perlis pada 16 September ini.
Ujarnya, pertandingan sempena sambutan Hari Malaysia disokong Tourism Malaysia itu bagi menyokong usaha kerajaan merancakkan pelancongan domestik menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia.
"Hadiah wang tunai keseluruhan ditawarkan pada pertandingan di Pantai Kuala Sanglang, Perlis itu berjumlah lebih RM20,000 dan dijadualkan berlangsung pada 16 September depan," ujarnya.