Malaysia usaha tingkatkan kualiti pendidikan digital - Fadhlina

Iklan
Fadhlina. Foto Bernama

BURIRAM - Malaysia sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti pendidikan digital bersama masyarakat antarabangsa dalam usaha mentransformasikan ekosistem pendidikan di rantau ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata, pada November tahun lalu, Malaysia melancarkan Dasar Pendidikan Digital Kebangsaan, satu rangka kerja strategik yang bertujuan untuk memperkukuh penggunaan teknologi digital dalam pendidikan.

Iklan
Iklan

"Dasar ini selaras dengan matlamat SDG4 (Matlamat Pembangunan Mampan 4), bertujuan memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama serta mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua. Dasar ini memberi tumpuan kepada melahirkan generasi yang celik digital dan berdaya saing.

"Ia dicapai melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai pelajar, pendidik serta pemimpin pendidikan; pelaburan dalam infrastruktur, infostruktur dan kandungan yang kukuh serta penglibatan aktif rakan strategik untuk mewujudkan ekosistem pendidikan digital yang kukuh dan bersepadu," kata Fadhlina semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN ke-13 (ASED) di sini pada Ahad.

Iklan

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi.

Fadhlina berkata bahawa menjelang 2025, Malaysia akan menghadapi tahun yang sangat penting apabila Kuala Lumpur mengambil alih peranan selaku Pengerusi ASEAN.

Iklan

Beliau berkata, bagi memperingati peristiwa penting ini dan meneruskan komitmen dalam merealisasikan hasil Pelan Kerja Pendidikan ASEAN 2021-2025, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan penganjuran Seminar Serantau ASEAN yang memfokuskan kepada penggunaan kecerdasan buatan AI untuk memantau Kanak-Kanak dan Belia Tidak Bersekolah atau 'Out-of-School Children and Youth' (OOSCY).

"Selaku pengerusi, ia juga memberi peluang keemasan kepada kita untuk menilai semula Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pendidikan Tinggi yang diterima pakai sedekad lalu pada 2015.

"Inilah masanya untuk kita menilai kemajuan, menilai semula matlamat kita dan merangka dokumen hasil baharu yang akan membimbing landskap pendidikan tinggi ASEAN untuk 10 hingga 15 tahun akan datang.

"Usaha ini bukan sekadar menghormati komitmen masa lalu, tetapi membentuk masa depan pendidikan di rantau ini, memastikan ia kekal relevan, inovatif dan memberi kesan dalam konteks global yang sentiasa berubah," katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Thailand, Jeneral Polis Permpoon Chidchob merasmikan Mesyuarat ASED ke-13 dan Mesyuarat Berkaitan bertemakan 'Transforming Education in the Digital Era' yang diadakan di Chang Arena di sini pada Ahad. - Bernama