Sarawak pamer kesediaan anjur Sukan SEA menerusi Sukma 2024

Iklan
Antara persembahan pada Majlis Penutup Sukma Sarawak 2024 di Stadium Perpaduan Petra Jaya pada Sabtu. Foto Bernama

KEJAYAAN tuan rumah menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang mendapat pujian sebagai antara terbaik dalam sejarah temasya itu sejak 38 tahun lepas, membuktikan Sarawak layak menjadi penganjur kejohanan bertaraf antarabangsa.

Justeru, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan bersetuju Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Iklan
Iklan

Penganjuran Sukma 2024 yang berjalan lancar tanpa insiden besar serta upacara perasmian dan penutupan yang gilang gemilang turut menunjukkan kemampuan Bumi Kenyalang untuk menjayakan temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Sukma 2024, Datuk Hii Chang Kee berkata, temasya Sukma menjadi platform terbaik bagi kesemua 25 jawatankuasa terlibat untuk mendapatkan kepakaran dan pengalaman bagi penganjuran acara lebih besar pada masa hadapan termasuk Sukan SEA.

Iklan

"Kami gembira dan berpuas hati dengan penganjuran keseluruhan Sukma. Segalanya berjalan lancar sejak hari pertama walaupun terdapat beberapa masalah dari segi penginapan, makanan dan pengangkutan tetapi kami berjaya menyelesaikannya.

"Terdapat satu insiden kecil dalam acara silat (larangan memasuki stadium selama sehari susulan insiden membaling objek dipercayai botol ke dalam gelanggang) tetapi ia dapat dikawal dan keesokan harinya kami membuka semua acara dengan kawalan keselamatan lebih ketat,” katanya kepada Bernama.

Iklan
Anwar menyaksikan persembahan bunga api pada Majlis Penutup Sukma Sarawak 2024 di pekarangan Stadium Sarawak pada Sabtu. Foto Bernama

Beliau berkata, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah turut berpuas hati dengan penganjuran Sukma edisi ke-21 itu.

Chang Kee berkata, cabaran cuaca yang menyebabkan beberapa acara seperti memanah dan final bola sepak wanita ditunda atau dilewatkan adalah di luar jangkaan kerana taburan hujan bagi Jun hingga September di negeri ini biasanya rendah.

Berbaki tiga tahun lagi untuk menghadapi Sukan SEA, Sarawak perlu menaik taraf beberapa venue dan kemudahan untuk bersedia sepenuhnya bagi menganjurkan temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Sukma, kali pertama dianjurkan pada 1986 di Kuala Lumpur dan ini kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah selepas edisi 1990 dan 2016.

Sementara itu, walaupun ada cadangan had umur 21 tahun ke bawah bagi Sukma dihapuskan untuk membuka ruang kepada atlet senior bersaing, temasya berkenaan seharusnya kekal sebagai medan mencungkil bakat baharu dan memberikan peluang kepada atlet muda melonjak ke tahap seterusnya.

Ia terbukti apabila hanya 161 daripada 488 emas yang ditawarkan dimenangi oleh atlet di bawah program podium dan pelapis kebangsaan, manakala selebihnya dibolot oleh atlet di bawah program negeri atau di luar program.

Edisi kali ini juga menyaksikan tujuh rekod kebangsaan dalam angkat berat (tiga), renang (dua), olahraga (satu) dan memanah (satu), serta 28 rekod temasya dalam renang (16), olahraga (sembilan) dan menembak (tiga) berjaya dipecahkan, tidak termasuk catatan bagi beberapa acara baharu diperkenalkan.

Sarawak berjaya mencipta beberapa sejarah baharu kerana Sukma kali ini merupakan edisi paling banyak pingat ditawarkan, iaitu 488 emas dalam 37 jenis sukan melibatkan venue pertandingan di sembilan bahagian.

Satu lagi keistimewaan adalah sukan tradisi seperti wushu, silambam dan kabaddi yang sebelum ini majoritinya disertai oleh satu kaum sahaja, mendapat penyertaan daripada pelbagai etnik sekali gus dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan keterbukaan menerima sukan baharu.

Sukma 2024 yang melabuhkan tirainya secara rasmi semalam, menyaksikan kontinjen tuan rumah mengesahkan gelaran juara keseluruhan buat kali keempat selepas kejayaan edisi 1990, 1992 dan 1994, dengan merangkul 76 butir emas, 55 perak dan 70 gangsa.

Wilayah Persekutuan yang memberikan tentangan sengit hingga hari terakhir, terpaksa akur sebagai naib juara selepas meraih 75-65-72, diikuti Selangor (56-64-61), Pulau Pinang (41-45-52) dan Terengganu (41-36-47). - Bernama