Durian segar Malaysia selamat tiba di China

Iklan
Sejumlah 40 tan metrik durian segar jenis Musang King, D24, IOI dan Duri Hitam melibatkan lapan syarikat pengeluar di negara ini dihantar ke China.

SHAH ALAM - Sebanyak 15 tan metrik (MT) durian segar dari Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou, China pada Ahad.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, fasa penghantaran pertama melibatkan sejumlah 40 tan metrik durian segar jenis Musang King, D24, IOI dan Duri Hitam daripada lapan syarikat pengeluar di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurut KPKM, penghantaran seterusnya iaitu sebanyak 15 tan metrik akan mendarat di Zhengzhou manakala selebihnya di Shenzen esok.

"Pengeksportan pertama ini hasil daripada Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar Dari Malaysia ke Republik Rakyat China yang dimeterai oleh Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC) Yu Jianhua pada 19 Jun lepas.

Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar Dari Malaysia ke Republik Rakyat China yang dimeterai oleh Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu bersama Menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC) Yu Jianhua.

Iklan

"Akses pasaran ini menyumbang kepada peningkatan nilai eksport sektor durian ke China kerana sebelum ini durian sejuk beku sahaja yang dibenarkan.

Sebelum ini, media melaporkan protokol tersebut dimeterai dan disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Li Qiang.

Iklan

Dokumen berkenaan turut diserahkan semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Persetujuan (MoU) yang diadakan di Putra Perdana, Putrajaya pada Jun lalu.

Durian segar itu akan diedarkan secara terus oleh 10 syarikat pengimport menerusi kedai peruncitan di enam wilayah iaitu Beijing, Zhengzhou, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen dan Nanning.

KPKM memaklumkan, prestasi eksport durian negara sepanjang tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022 amat menggalakkan dan berkembang sebanyak 256.3 peratus iaitu bersamaan RM822.8 juta.

Mohamad (tengah) menyempurnakan majlis penerimaan durian segar melalui udara yang pertama ke China bersama Timbalan Gabenor Eksekutif Wilayah Henan, Sun Shougang dan Pengurus Besar Zhongyu Aviation Group, Liu Jianmin di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou, China pada Ahad.

Tambahnya, pada 2022, eksport durian tempatan ke seluruh dunia mencatatkan nilai tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM1.14 bilion.

"Secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama (58.6 peratus) kepada nilai eksport buah-buahan negara pada 2022 daripada keseluruhan jumlah bernilai RM2.01 bilion.

"China merupakan pasaran eksport utama sebanyak RM887 juta pada 2022 yang juga merupakan nilai tertinggi dalam sejarah pengeksportan durian ke negara terbabit. Ia dijangka terus meningkat kepada RM1.8 bilion menjelang 2030.

"KPKM berharap pengeksportan durian segar akan meningkatkan kerjasama perdagangan kedua-dua pihak, selaras dengan hubungan diplomatik yang mencecah 50 tahun dalam bentuk budaya, pelancongan dan makanan," ujarnya.