BAITULMAQDIS - Israel semakin tertekan apabila melancarkan beberapa siri serangan sengit di selatan Lubnan pada awal pagi Ahad ketika kumpulan pejuang Hizbullah mula mengaturkan serangan dengan menyerang menggunakan ratusan roket ke sasaran utama di wilayah diduduki tentera rejim Zionis.
Tentera Israel berkata, serangan berskala besar Hizbullah dilancarkan sebagai membalas dendam ke atas pembunuhan seorang komander tertinggi mereka pada hujung bulan lalu.
Di seluruh utara Israel, siren dibunyikan manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion memaklumkan mereka terpaksa mengalihkan jadual penerbangan masuk dan keluar.
Tidak lama selepas itu, Hizbullah mengumumkan mereka melancarkan serangan ke atas Israel dengan sebilangan besar dron dan roket Katyusha sebagai tindak balas pembunuhan Fouad Shukur, seorang komander tertinggi yang terkorban dalam serangan Israel di Beirut pada bulan lepas.
Hizbullah berkata, serangan itu menyasarkan 'sasaran tentera Israel' serta beberapa tapak, berek dan Iron Dome.
Serangan itu berlaku ketika Mesir menjadi tuan rumah pusingan baharu rundingan bertujuan menamatkan perang Israel-Hamas. Kumpulan disokong Iran berkata, mereka akan menghentikan perang jika terdapat gencatan senjata.
Pada masa sama, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant mengumumkan darurat dalam tempoh 48 jam bermula jam 6 pagi (waktu tempatan) pada Ahad selepas tenteranya melancarkan serangan balas.
"Pengisytiharan mengenai keadaan darurat membolehkan tentera mengeluarkan arahan kepada rakyat Israel, termasuk mengehadkan perhimpunan dan menutup tapak yang mungkin berkaitan.
"Saya yakin terdapat kebarangkalian tinggi serangan terhadap penduduk awam di kawasan di Israel di mana pengisytiharan situasi khas tidak terpakai,” katanya merujuk kepada langkah kecemasan sebelum ini.
"Saya dengan ini mengisytiharkan darurat di bahagian depan di kawasan lain Israel ini. Keadaan itu sah selama 48 jam bermula jam 6 pagi," kata Gallant.
Di Amerika Syarikat (AS), Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Sean Savett, berkata Presiden Joe Biden 'memantau rapat konflik di Israel dan Lubnan'.
"Atas arahannya, pegawai kanan AS telah berkomunikasi secara berterusan dengan rakan sejawat Israel mereka.
"Kami akan terus menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri dan akan terus berusaha memulihkan kestabilan serantau,” kata Savett.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, diplomat dari AS dan negara-negara Eropah telah membuat lawatan ke Israel dan Lubnan bagi mengurangkan ketegangan yang mereka bimbang akan mencetuskan perang lebih luas dengan Hizbullah.
Hizbullah mula menyerang Israel hampir sejurus selepas perang dengan Hamas yang meletus pada 7 Oktober tahun lalu.
Israel dan Hizbullah telah berbalas tembakan hampir setiap hari, menyebabkan puluhan ribu orang berpindah daripada kedua-dua belah sempadan dan menimbulkan kebimbangan bahawa pertempuran boleh meningkat kepada perang berskala besar.
Hizbullah dianggap jauh lebih berkuasa daripada sekutunya, Hamas dengan anggaran persenjataan dimiliki mereka sebanyak 150,000 roket dan peluru berpandu ketepatan tinggi.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini kumpulan itu juga telah meningkatkan penggunaan dron untuk menentang sistem pertahanan Israel yang dilihat semakin 'rapuh'. - Agensi