Suami beberapa kali dipatuk ular sejak awal perkahwinan

Iklan
Allahyarham Abu Zarin terkenal dengan kemahiran menjinak dan menangkap ular.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kejadian anggota bomba, Abu Zarin Husin dipatuk ular tedung sehingga meragut nyawa pada tujuh tahun lalu meninggalkan kesan mendalam kepada kehidupan isterinya hingga ke hari ini.

Azieana Farhana Mohd, 37, berkata, ini kerana sudah lebih beberapa kali dia melihat suaminya dipatuk ular sejak awal perkahwinan mereka.

Iklan
Iklan

Azieana Farhana (kanan) bersama suaminya, Allahyarham Abu Zarin.

"Tapi sekarang alhamdulillah ada kekuatan itu, cuma dalam gambar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Iklan

Pada 16 Mac 2018, Abu Zarin yang terkenal dengan kemahiran menjinak dan menangkap ular meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh akibat dipatuk ular tedung.

Allahyarham sudah bertugas lebih 10 tahun sebagai anggota bomba dan mengetuai Skuad King Cobra Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang yang ditubuhkan sejak hujung 2015 sebagai tenaga pengajar.

Iklan

Ujar Azieana Farhana yang merupakan penjawat awam, dia dan arwah suami mendirikan rumah tangga pada 16 September 2012 dan tidak mempunyai anak.

Katanya, sebagai isteri sudah tentu dia tidak mahu sebarang kejadian buruk menimpa insan tercinta, namun tetap berbangga dengan jasa dan pengorbanan suami.

"Dia sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi membantu orang ramai. Pemergian dia satu dugaan hebat buat saya,” ujarnya.

Mengimbau kenangan terakhir bersama arwah suami, Azieana Farhana berkata, menu mi segera yang dimasak untuk Allahyarham terus menjadi memori indah.

"Allahyarham memang kuat bergurau. Malam sebelum kejadian itu, dia kejutkan saya sebab lapar dan minta masakkan mi segera.

"Sewaktu saya masak, dia tak berhenti tenung saya dan saya pelik juga dengan kelakuan dia.

"Kata-kata yang saya masih ingat sampai sekarang ialah hari ini malam terakhir saya tengok awak masak, lepas ini dah tak dapat nak tengok lagi,” ujarnya.