KUALA KUBU BHARU - Satu tugu peringatan diberi nama Fallen Heroes telah dibina di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah di sini bagi mengabadikan nama anggota yang terkorban sewaktu operasi.
Tugu itu dibina pelatih Kursus Diploma Sains dan Kebombaan Siri 1 dan dirasmikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid pada 27 September 2017.
Komandan ABPM Wilayah Tengah, Muhammad Azmi Ismail berkata, ia merupakan cetusan idea Mohamad Hamdan selepas lawatan kerja ke Jepun yang mendapati negara matahari terbit itu memiliki tugu memperingati anggota bomba terkorban sebagai tanda penghargaan.