MAHA 2024 janji kelainan tarik pengunjung

Iklan
Mohamad (tengah) meninjau teknologi pertanian yang dipamerkan sempenan Road to MAHA 2024 di Kota Raja, Klang.

KLANG - Menjelang Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang bakal berlangsung September depan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini sedang giat menjalankan siri jelajah bagi merealisasikan sasaran jumlah pengunjung dan hasil jualan yang ditetapkan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya optimis jelajah ‘Road to MAHA 2024’ mampu menarik minat orang ramai untuk menyertai acara dwi tahunan itu yang akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, misi dan objektif siri jelajah berkenaan untuk mempromosikan acara tersebut sebagai satu ekspo pertanian terbesar.

"Tahun ini penyertaan peringkat antarabangsa meningkat kerana bukan hanya sekadar terlibat dalam mempamerkan peralatan pertanian, malah melibatkan teknologi moden yang akan diperkenalkan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Projek Mesra Rakyat @ Parlimen Kota Raja 2024 di sini, pada Sabtu.

Mohamad bersama penerima dan orang ramai selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Projek Mesra Rakyat @ Parlimen Kota Raja 2024, di sini pada Sabtu.

Road to MAHA 2024 Kota Raja, Klang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu diadakan di Pejabat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Klang, Selangor.

Iklan

Program yang bermula pada pukul 10 pagi hingga 10 malam itu turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung antaranya jualan Agro Madani, ceramah perdana dan Majlis Kenduri Rakyat Kota Raja.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan, pihaknya menyasarkan kehadiran tiga juta pengunjung dengan penyertaan 150 pempamer antarabangsa.

Bertemakan ‘Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom’ atau Menuai Harapan Membina Masa Hadapan, ia mencerminkan aspirasi KPKM untuk menuai kejayaan di masa hadapan dengan usaha dan inovasi yang diterokai ketika ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, penganjuran MAHA 2024 lebih istimewa kerana memberi penekanan kepada elemen yang mengangkatnya ke peringkat antarabangsa.

"Jika sebelum ini segmen (pameran) sehingga 7 malam tetapi kali ini kita adakan siang dan malam, sehingga 10 malam.

"Kita ada tarikan lain selain pertanian melibatkan agro pelancongan dan makanan,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamad memaklumkan, KPKM sedang melaksanakan beberapa langkah dalam usaha meningkatkan pendapatan negara susulan jangkaan peningkatan terhadap perbelanjaan kerajaan.

Beliau menjelaskan, ia termasuk meningkatkan jumlah eksport produk pertanian serta makanan di samping penerokaan pasaran baharu di luar negara.

Langkah tersebut, menurutnya, bertujuan mengimbangi nilai import dan eksport negara, sekali gus mampu menyumbang kepada pertambahan pendapatan kerajaan.

"Kita juga sedang menumpukan kepada peningkatan pengeluaran nanas bagi memenuhi permintaan antarabangsa (iaitu) sekitar 4,000 kontena setahun, sedangkan negara hanya mampu membekalkan 800 kontena sahaja.

"Insya-ALLAH tahun hadapan, kita jangka dapat mengurangkan import bawang kecil selepas mula sebarkan benih secara besar-besaran,” ujarnya.

Antara teknologi yang dipamerkan sempena Road to MAHA 2024 di Kota Raja, Klang.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja memaklumkan, industri akuakultur negara telah menghampiri kadar sara diri (SSR) melalui tangkapan ikan air tawar dan hasil laut bermutu tinggi.

Katanya, KPKM juga sedang berusaha untuk mengurangkan import produk pertanian dan makanan dari luar negara yang bernilai RM78.69 bilion pada tahun 2023.

"Sebab itu, kita telah memulakan usaha penanaman bawang, menaik taraf sistem perairan di kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) bagi membolehkan padi dapat ditanam lima musim dalam tempoh dua tahun supaya Malaysia tidak perlu bergantung kepada sumber luar,” ujarnya.

KPKM juga sedang giat membantu golongan sasar seperti petani, penternak dan pengusaha industri makanan untuk mengembangkan usaha mereka, tambah menteri itu.

Setakat Julai lalu, beliau berkata, KPKM telah menyalurkan RM7.3 juta kepada 368 penerima geran Agropreneur Muda, 30 penerima Geran Agropelancongan (RM4.3 juta), 135 penerima Geran Padanan CUP (RM4.3 jutaw) dan lapan usahawan mendapat Geran Padanan HIP (RM930,451).