PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) menyifatkan pencarian Aniq Kasdan 2.0 masih jauh berdasarkan pencapaian diraih barisan atlet pelapis pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang melabuh tirai pada Sabtu.
Malah Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat menegaskan prestasi angkatan secara keseluruhan ditampilkan atlet pelapis yang mewakili negeri masing-masing masih berada pada tahap biasa.
"Jadi jika ditanya saya untuk melahirkan Aniq Kasdan 2.0 dari Sukma 2024 untuk saingan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028, jawapannya masih jauh lagi.
"Ini kerana kita lihat secara keseluruhan angkatan yang ditampilkan atlet-atlet pelapis angkat berat yang mewakili negeri-negeri masih di bawah keupayaan sebenar sama ada berat angkatan menurun atau gagal raih emas.
"Apapun saya masih menunggu laporan penuh setiap kategori daripada setiausaha sebelum kita nilai semula prestasi mereka ini sama ada perlu bersaing dalam kategori lain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Pada masa sama Ayub mengakui terdapat beberapa atlet sukan tersebut yang menyerlah di temasya dwi tahunan berkenaan yang perlu konsisten diberikan latihan mencukupi secara berterusan.
"Sukma 2024 kali ini kita lihat ramai atlet muda berusia sekitar 15 tahun ke atas yang perlu terus diberi ruang untuk mengembangkan lagi potensi mereka.
"Ada juga beberapa atlet Sukma 2024 yang berpotensi diketengahkan untuk mewakili skuad kebangsaan. PABM akan hantar surat kepada mereka ini, namun sama ada mereka menerima atau menolak semuanya bergantung kepada atlet.
"Saya tegaskan di sini, panggilan menyertai pasukan kebangsaan ini merupakan khidmat seseorang itu dalam membawa nama Malaysia, yang tiada syarat-syarat tertentu,” ujarnya lagi.
Sebagai rekod, Sukma 2024, atlet Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin antara paling menonjol apabila memecah rekod kebangsaan sebanyak lapan kali Kategori 81 kilogram (kg) lelaki.
Hafizuddin yang berusia 20 tahun melakukan angkatan snatch 141kg, mengatasi rekod milik Nasir Roslan 140kg semasa Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan pada 2021, sebelum melakukan dua lagi angkatan yang memadam rekodnya, 146kg dan terbaru 151kg.
Muhammad Hafizuddin kemudian melakukan angkatan pertama Kategori Clean and Jerk 165kg, memecah rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 316kg untuk memadam rekod lama Nasir (315kg).
Seterusnya, Muhammad Hafizuddin memecah rekod kebangsaan Kategori Clean and Jerk pada angkatan kedua dengan 176kg sebelum memperbaharui rekod sendiri dengan angkatan 181kg menjadikan keseluruhannya 332kg.
Kategori wanita 45kg pula menyerlahkan potensi atlet Perak, Qharisya Suffia Mohd Muzani apabila rekod kebangsaan baharu Kategori Snatch dengan angkatan 65kg, Kategori Clean and Jerk (79kg) dengan angkatan keseluruhan 144kg.