'Ada berita baik buat pasukan bomba' - Kor Ming

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian (kiri), Kor Ming

IPOH - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberi bayangan bahawa pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bakal menerima sesuatu yang istimewa pada Belanjawan 2025 nanti.

Tanpa mendedahkan butiran tersebut, beliau menjelaskan ia merupakan sebahagian daripada 33 inisiatif kewangan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengumuman lanjut mengenai perkara tersebut akan dibuat sejurus pengesahan diterima menerusi belanjawan yang akan dibentangkan pada Oktober depan.

"Saya yakin Belanjawan 2025 akan mengemudi negara ke satu arah yang lebih kukuh dan stabil. Saya tahu di mana KPKT telah kemukakan 33 inisiatif kewangan termasuk pelbagai inisiatif yang menarik termasuk Deposit Madani tetapi saya rasa bukan masa untuk saya mengulas kerana cadangan ini berada atas meja Menteri Kewangan untuk pertimbangan.

Iklan

"Tahun depan tidak lama lagi saya akan umumkan satu berita baik hasil daripada usaha diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kerajaan negara China. Tunggu berita baik, saya akan umumkan," katanya kepada pemberita selepas Jamuan Makan Malam DAP Perak di sebuah restoran dekat sini pada malam Ahad.

Kor Ming turut berharap agar semua permintaan yang dibuat oleh KPKT itu dapat dipertimbangkan untuk diluluskan.

Iklan

Dalam pada itu, beliau juga bersyukur pada tahun ini peruntukan yang diterima oleh KPKT menunjukkan peningkatan lebih RM300 juta berbanding pada tahun 2023.

"Semua ini kita gunakan untuk menaik taraf prasarana awam yang saya rasa tuan-tuan dan puan-puan boleh nampak semakin rancak kita gunakan. Ini baru tahun kedua, jika diberikan 10 tahun, anda boleh nampak, rasa dan sentuh perbezaan.

"Bomba pula tahun ini kita telah berjaya memberikan peruntukan paling tinggi kepada anggota bomba kita sebanyak RM267 juta di mana kita telah memperuntukkan jumlah yang cukup besar termasuk RM140 juta untuk beri 150 unit Compact Firefighting Engine yang boleh masuk lebuh raya, lorong, ini semua sudah kita luluskan," katanya.

Sinar Harian menerusi laporan khas pada Isnin menyiarkan mengenai pengorbanan anggota JBPM dalam menjalankan tugas sehingga terdapat dalam kalangan 'wira merah' itu terkorban.