PAGOH - Penolakan terhadap politik wang merupakan perkara yang akan dititikberatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti kali pertama pada 15 Februari hingga 29 Mac ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hukuman keras seperti hilang kelayakan untuk memegang sebarang jawatan selain pencalonan diumumkan sebagai tidak sah sekiranya calon didapati mengamalkan perbuatan tersebut.
"Kita pandang serius politik wang dan berharap kesemua calon boleh bertanding secara bersih sebab kita memang menolak amalan rasuah. Sebagai sebuah parti dalam kerajaan, kita nak jauhkannya dan jadi contoh terbaik," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemilihan Bersatu: 9,452 calon layak bertanding
Menteri Dalam Negeri itu bagaimanapun berkata, tafsiran politik wang akan diperjelaskan dalam masa terdekat.
"Ia mungkin seperti menawarkan wang untuk sokongan, hantar orang mengerjakan umrah atau lawatan sambil belajar yang dilihat tidak selari dengan semangat demokrasi yang baik.
"Kalau jawatankuasa pemilihan dapat maklumat hal sebegitu, ia akan dilaporkan kepada lembaga disiplin parti untuk membuat keputusan tertentu sama ada pemilihan mereka itu tidak sah atau sebagainya. Ia akan ditentukan selepas pemilihan," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Perasmian Serentak Cawangan, Srikandi dan Armada Bahagian Pagoh di Dewan Serbaguna Pagoh di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Sementara itu, mengulas mengenai lebih 1,000 pencalonan yang ditolak jawatankuasa untuk pemilihan parti kali ini, beliau berkata, ia berpunca daripada masalah yang telah dikenal pasti.
"Jawatankuasa pemilihan parti telah diberi kuasa untuk meneliti. Ia ikut syarat bertanding seperti menjadi ahli lebih setahun, berapa lama sudah jadi pemimpin bahagian dan tidak muflis. Semua telah diteliti," katanya.