'Penyertaan penerjun wanita Muslim dihantar tanpa kebenaran'

Iklan
Hishamuddin

PENYERTAAN atlet terjun wanita beragama Islam pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 dihantar oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu tanpa pengetahuan dan kebenaran daripada kerajaan negeri.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Karim berkata, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengesahkan penyertaan atlet terjun wanita Muslim itu telah dihantar oleh persatuan berkenaan di bawah perbelanjaan sendiri dengan memohon kuota Terengganu.

Iklan
Iklan

Beliau menegaskan bahawa kerajaan Terengganu berpendirian tidak membenarkan atlet beragama Islam untuk mewakili negeri dalam sukan tersebut kerana ia tidak mematuhi kod etika yang telah ditetapkan meskipun atlet berkenaan bukan berasal dari Terengganu.

"Malangnya, terdapat penyertaan atlet terjun wanita kontinjen Sukma Terengganu yang turut menyertai sama dan berada di luar pengetahuan pihak saya.

Iklan

"Penyertaan atlet berkenaan dalam acara tersebut tidak berada dalam pengetahuan saya selaku Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri dan saya sangat terkejut dengan laporan pihak lain tentang penyertaan tersebut pada hari kejadian serta amat berdukacita dengan berlakunya penyertaan ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Sebelum ini, portal media tempatan melaporkan berkenaan penyertaan dua atlet wanita Muslim yang mewakili Terengganu dalam sukan terjun pada Sukma 2024 meskipun sebelum ini penyertaan atlet gimnastik wanita muslim dihalang atas alasan pemakaian tidak patuh syariah.

Iklan

Susulan itu, Ketua Pemuda Amanah Terengganu Wan Hasbi Wan Ahmad menyifatkan kerajaan negeri gagal menonjolkan atlet Muslim patuh syariah walaupun sering menguar-uarkan aspek tersebut termasuk menyekat penyertaan atlet gimnastik wanita ke Sukma.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, Persatuan Renang Amatur Terengganu juga telah melakukan kunjungan hormat kepada dirinya pada 5 Jun lepas untuk memohon pelepasan tersebut.

Menurutnya, ketika itu beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak dapat membenarkan sama sekali penyertaan tersebut kerana ia bercanggah dengan garis panduan yang telah ditetapkan meskipun ia melibatkan atlet bergama Islam bukan berasal dari Terengganu.

Bagaimanapun, Hishamuddin berkata, pihaknya pada masa sama turut mempertimbangkan kebenaran untuk atlet bukan Islam bagi acara tersebut.

Justeru, beliau telah meminta pihak pengurusan MSNT untuk menyediakan laporan lengkap berkaitan dengan penyertaan atlet wanita terbabit dalam acara terjun berkenaan.

"Kita akan memanggil pihak persatuan serta MSNT untuk memberikan penjelasan terperinci selepas selesai perjalanan Sukma 2024.

"Tindakan selanjutnya akan dibuat setelah selesai sesi pendengaran oleh pihak persatuan," jelas beliau.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut menghargai semua pihak yang prihatin dengan isu tersebut.

"Jadi kita berharap tiada lagi kedengaran bahawa kerajaan Terengganu mendiskriminasikan wanita.

"Malah sebenarnya, kita sentiasa berusaha memartabatkan maruah kaum wanita muslim.

"Pada masa sama, Kerajaan Terengganu tidak menghalang pengamalan berpakaian kaum bukan Islam," ujarnya.