BENTONG - Seorang pemandu e-hailing maut selepas kereta dinaiki hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tembok konkrit pembahagi jalan di Kilometer (KM) 15.8 Jalan Genting Highlands di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Hon Hoock Chee, 68, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, penumpang kereta iaitu seorang wanita warganegara tempatan berusia 70 tahun tidak mengalami kecederaan.
"Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu oleh seorang lelaki dari Genting Highlands menghala ke Klang.
"Apabila sampai di lokasi, pemandu gagal mengawal kenderaan lalu masuk masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tembok konkrit pembahagi jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, rakaman video kemalangan tersebut turut tular di media sosial.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, Zaiham memohon kerjasama mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.