CHINA - Pihak berkuasa penerbangan China menghantar dua pesawat Xiamen Airlines hari ini bagi membawa pulang rakyatnya yang terkandas di Bangkok, Thailand dan Kota Kinabalu, Malaysia, lapor AFP memetik sumber.
Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 117 warga China dari wilayah Hubei di Bangkok dan 100 di Kota Kinabalu bersedia untuk pulang ke Wuhan secepat mungkin.
"Penerbangan tersebut dijangka akan tiba di dua negara tersebut pada hari ini dan kita jual tiket kepada mereka secara sukarela," tulisnya.
Terdahulu, Kementerian Hal Ehwal Luar China memberitahu akan membawa semula penduduk Wuhan yang berada di luar negara secepat mungkin.
Tindakan itu dilakukan susulan beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia menghentikan semua penerbangan ke China bagi membendung penularan wabak koronavirus.
ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Jumlah kematian di China meningkat 213
WHO isytihar koronavirus Wuhan sebagai kecemasan kesihatan global
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak koronavirus Wuhan sebagai kecemasan kesihatan global selepas mengadakan satu mesyuarat tergempar awal hari ini.
Keputusan itu dilakukan selepas koronavirus Wuhan disahkan boleh merebak dari manusia ke manusia lain di luar dari negara China.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kes jangkitan manusia ke manusia telah berlaku di Jepun, Jerman, Vietnam dan terbaru berlaku di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kemampuan virus ini untuk merebak dengan lebih meluas.
Setakat pagi ini, lebih 8,100 kes positif koronavirus Wuhan dilaporkan seluruh dunia dengan 170 kematian. Virus ini pertama kali dikesan pada Disember tahun lalu di bandar Wuhan, China.