ADAKALANYA kita berdeham ketika sedang mendirikan solat tanpa disedari. Barangkali kerana ketidakselesaan yang dialami pada tekak atau masalah lain.
Bagaimanapun sebaiknya usah dibiasakan berbuat demikian kerana bimbang ia boleh membatalkan solat seseorang.
Masakan tidak, ketika menghadap ALLAH, kita tidak boleh mengeluarkan sebarang perkataan dengan sengaja kerana ia antara perkara membatalkan sembahyang.
Bagaimana pula dengan berdeham ketika solat?
Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, sememangnya berkata-kata dengan sengaja termasuk sebagai perkara yang membatalkan solat.
Bahkan katanya, berdeham juga termasuk dalam perbuatan itu iaitu mengeluarkan suara.
"Ia sebagaimana disebutkan oleh Imam An-Nawawi yang mana terdapat tiga pandangan mengenainya. Pendapat pertama dan sahih menyatakan, kebanyakan ulama menjelaskan jika nyata bunyi dua huruf, maka batal solat dikerjakan, sebaliknya tidak batal andai tidak jelas bunyi dua huruf tersebut.
"Pendapat kedua mengatakan, solat tidak batal sekalipun nyata bunyi dua huruf tadi, kata Ar-Rafie yang menghikayatkannya dari nas Imam Syafie.
"Satu lagi pendapat menyatakan, jika mulutnya tertutup, nescaya ia tidak batal sama sekali. Bagaimanapun, andai terbuka (mulut) dan nyata dua huruf, maka ia membatalkan solat. Sekiranya tidak jelas dua huruf, solat tersebut tidak batal,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Faecbook miliknya pada Sabtu.
Bagi memudahkan kita memahaminya, Ustaz Azhar menyimpulkan, sengaja berdeham yang mengeluarkan bunyi dua huruf adalah membatalkan solat.
Dalam situasi itu, katanya, ia tidak membatalkan solat tersebut.
"Namun begitu, sekiranya seseorang berdeham kerana hendak membaca yang sunat, maka ia membatalkan solat menurut pendapat paling sahih.
"Membaca bacaan yang sunat itu termasuklah membaca surah (pilihan), qunut, doa iftitah atau menguatkan bacaan al-Fatihah yang mana ia membatalkan solat,” hurainya.
Sementara itu, merujuk artikel #3664: Hukum berdeham atau mengaduh ketika solat daripada laman web Maktabah Albakri, berdeham dibolehkan jika ada keperluan seperti suara tersekat tatkala ingin membaca bacaan dalam solat.
Begitupun, sekiranya tiada tujuan dan maslahah yang jelas serta dilakukan dengan sengaja berserta jelasnya dua huruf, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan, batal solat dikerjakan.
Ia sepertimana hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ali RA. Beliau berkata:"Aku memiliki dua waktu untuk menemui Rasulullah SAW iaitu pada malam hari dan pada siang hari dan apabila aku menemui Baginda ketika Baginda sedang melaksanakan solat, maka Baginda akan berdeham kepadaku.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
Melihat kepada hadis itu, ujar Dr Zulkifli, ia jelas menunjukkan bahawa tidak mengapa jika kita ada keperluan untuk berdeham ketika solat.
"Bagaimanapun, Fatawa nur ‘ala al-Darb mengingatkan, jangan banyak berdeham kerana jika kerap berbuat demikian, ia termasuk dalam perbuatan yang boleh membatalkan solat,” terangnya.