Bekalan insulin manusia cukup hingga akhir tahun - Dr Dzulkefly

Iklan
Dzulkefly (tiga dari kiri) menyaksikan pertularan MoU melibatkan KPJ Healthcare dan SKMM. Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (tiga dari kanan)
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bekalan insulin manusia di fasiliti awam mencukupi sehingga akhir tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kekurangan ubatan tersebut belum mencapai tahap membimbangkan.

"Kita tidak mahu isu kekurangan bekalan ini menjejaskan penjagaan kesihatan pesakit.

"Kita sedang mencari pembekal alternatif dan sudah berkomunikasi, malangnya perkara ini (kekurangan insulin) berlaku.

"Negara tidak akan berada dalam krisis (kerana) dan sedang mendapatkan pembekal lain secepat mungkin," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Persidangan Kesihatan Antarabangsa (MIH) Megatrends 2024, pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, bekalan insulin manusia di fasiliti KKM terjejas ekoran isu melibatkan pengeluaran di fasiliti pembekal tempatan.

Dalam pada itu, Dzulkefly menjelaskan, kementerian itu telah mengambil beberapa pendekatan termasuk meningkatkan penggunaan insulin jenis analog dan terapi oral berdasarkan penilaian klinikal oleh doktor yang merawat pesakit.

Selain itu beliau turut memaklumkan, KKM akan mempercepatkan proses kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi pendaftaran insulin manusia kepada 60 hari berbanding enam bulan sebelum ini.

"Kita akan sentiasa memantau, cuma belum dapat pembekal lain.m, namun akan memastikan bekalan insulin tidak terputus," ujarnya.

Untuk rekod, rawatan perubatan di Malaysia yang ditawarkan kepada penghidap diabetes adalah dalam bentuk insulin manusia, insulin jenis analog dan terapi oral iaitu bergantung kepada keperluan rawatan individu.

KKM pada 12 Ogos lalu mengumumkan penambahbaikan terhadap dasar perolehan untuk memastikan keterjaminan, ketersediaan dan pulangan nilai terbaik untuk produk farmaseutikal dan peranti perubatan.