PORT DICKSON - Beberapa kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi di sini masih digenangi air akibat banjir termenung susulan hujan sejak Sabtu lalu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson, Kapten (PA) Mohd Azri Abu Hassan berkata, setakat ini tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan 39 ketua isi rumah (KIR) dengan bilangan mangsa seramai 147 orang.
"Kawasan yang terjejas ialah Kampung Permatang Pasir, Kampung Tanjung Agas dan Kampung Sungai Raya. Terdapat pertambahan mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Tanjung Agas.
"Buat masa ini cuaca agak mendung, keadaan sekitar (banjir) nampak beransur sikit tetapi ada beberapa kawasan masih banjir temenung dengan ketinggian kira-kira 0.3 meter," katanya ketika ditemui pemberita PPS Balai Raya Kampung Tanjung Agas pada Isnin.
Hadir sama di lokasi,Timbalan Pengarah APM Negeri Sembilan, LT Kol (PA) Shamil Ithman.
Mohd Azri berkata, keadaan banjir disebabkan oleh fenomena air pasang besar sejak Rabu minggu lalu dan hujan lebat dijangka berlarutan sehingga Rabu atau Khamis ini.
Dalam pada itu, seorang mangsa yang ditemui di PPS berkenaan, Muhamad Fazli Mohamad Ali, 38, berkata, sudah tiga hari keluarganya ditempatkan di PPS itu berbeza pada tahun 2021 lalu.
"Tahun 2021 pun banjir juga tetapi sehari sahaja kami tinggal di PPS ini. Rumah pun masih banjir termenung lagi. Bimbang juga tinggalkan rumah lama-lama. Saya berharap situasi ini segera berakhir," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli berkata, bagi mengelakkan kejadian sama berulang rancangan tebatan banjir akan dilaksanakan dijangka bermula tahun hadapan.
"Kita dah lantik kontraktor untuk pelaksanaan rancangan tebatan banjir di Sungai Solok melibatkan peruntukan sebanyak RM33 juta dan projek sama akan dilakukan di Sungai Raya membabitkan peruntukan sebanyak RM13 juta," katanya.