MUIS tingkat kesedaran pengusaha miliki sijil halal

Iklan
SEBAHAGIAN peserta Simposium Halal Antarabangsa 2024 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah. Foto UMS

DALAM meningkatkan peluang pengusaha dan pemain industri tempatan Sabah untuk memiliki sijil halal, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk mengadakan ceramah kesedaran.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali berkata, ceramah kesedaran mengenai kepentingan pemilikan sijil halal itu akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah dan Majlis Amanah Rakyat.

Iklan
Iklan

RAMLAN. Foto UMS

Beliau yang juga Pengerusi Pengesahan Sijil Halal Sabah Malaysia berkata, pihaknya turut proaktif dalam usaha mempercepat proses pensijilan halal dengan menambah bilangan daya kerja merangkumi 13 pegawai juruaudit dan 23 pegawai pemantau selain melancarkan perisian aplikasi Halal Sabah.

Iklan

"Proses pemilikan sijil halal bukanlah satu perkara yang sulit atau pun mustahil, tetapi hanya memerlukan komitmen tinggi daripada mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Simposium Halal Antarabangsa 2024 di Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.

Seramai 106 peserta daripada 14 negara menghadiri program dua hari anjuran Universiti Malaysia Sabah menerusi Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan antara lain bertujuan meneroka kemajuan, cabaran dan peluang terkini dalam ekosistem halal yang luas dan dinamik bagi memajukan industri halal.

Iklan

SEBAHAGIAN peserta khusyuk mendengar pembentangan di Simposium Halal Antarabangsa 2024. Foto UMS

Ini bagi memudahkan usahawan mendapat pelbagai faedah daripada pemilikan sijil halal, katanya sambil menambah para pemohon perlu menghantar dokumen lengkap dan bertepatan dengan kriteria ditetapkan oleh MUIS bagi membolehkan pemilikan sijil halal diperoleh segera.

Ramlan turut menggesa pengusaha tempatan untuk memuat turun aplikasi Halal Sabah bagi memudahkan mereka mengetahui lebih lanjut mengenai prosedur permohonan sijil halal.

"Perolehan sijil halal akan dapat meningkatkan integriti usahawan dan keyakinan masyarakat untuk menggunakan produk diusahakan serta dapat memberi imej baik kepada pengusaha," katanya. - Bernama