KOTA TINGGI - Persoalan mengenai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota September depan, dijangka diketahui lewat petang ini.
Bagaimanapun, menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, perkara itu perlu dibincangkan dan sebarang keputusan hanya akan diumumkan oleh Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Kita ada mesyuarat hari ini dengan UMNO Johor... Presiden (Ahmad Zahid) akan hadir.
"Soal calon tu, kena tanya presidenlah...itu tunggu hasil mesyuarat," katanya kepada pemberita setelah menyempurnakan lawatan ke Tapak Projek Pemindahan Ilmu (KTP), Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil di sini pada Isnin.
Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim.
Untuk rekod, kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang berkata, UMNO bertekad untuk mempertahankan kerusi DUN Mahkota.
Justeru menurut Mohamed Khaled, bagi mencapai misi itu, seluruh jentera UMNO perlu bekerja keras bagi memastikan kerusi itu tidak dirampas calon parti lain.
"Insya-ALLAH, bila masuk bertanding, mestilah kita nak menang. Saya tak nak buat jangkaan (peluang menang), tapi kita akan kerja keras," katanya.