Hadiah bermakna buat Remy Ishak

Iklan
Remy menganggap gelaran Datuk yang dikurniakan sebagai hadiah bermakna selepas 2 dekad berada dalam industri.

TIADA apa yang lebih bermakna buat aktor berbakat besar, Remy Ishak apabila penglibatannya dalam bidang seni mendapat perhatian yang sewajarnya.

Terbaharu, anak jati kelahiran Melaka itu menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk sempena Sambutan Hari Jadi ke-75 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, pada Ahad.

Iklan
Iklan

Remy atau atau nama sebenarnya Mohamad Zalimei Ishak ketika ditemui pemberita berkata beliau tidak menyangka terpilih menerima anugerah pada hari ini yang disifatkannya sangat bermakna sepanjang karier bergelar anak seni sejak kira-kira 20 tahun lepas.

"Memang tak pernah bermimpikan pun sebenarnya (untuk menerima gelaran Datuk)... mencari gelaran itu tidak, tapi diberikan hadiah kepada saya," katanya.

Iklan
Remy Ishak

Tambah Remy, penganugerahan itu juga akan menjadi suntikan semangat buatnya memberikan lebih banyak sumbangan dalam mengangkat Malaysia, khususnya Melaka ke persada antarabangsa.

"Ia memberi satu suntikan semangat kepada saya untuk lebih berjaya pada masa akan datang sekali gus memberi galakan kepada anak-anak muda di negeri ini untuk mengejar cita-cita mereka," ujarnya lagi.

Iklan

Selain Remy, antara lain yang menjadi penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka pada Ahad adalah pelakon Ashraf Muslim.

Ashraf atau nama penuhnya Mohd Ashraf Muslim menerima Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T).

Pelaris

Dalam pada itu, Remy yang ditemui pada majlis pelancaran drama siri terbaharu lakonannya, The Secret untuk tayangan platform penstriman Viu baru-baru ini meluahkan rasa syukur apabila masih dilihat sebagai pelaris atau tarikan sesebuah karya.

Menurut bintang berusia 42 tahun itu, sejak awal penglibatannya dalam industri seni, beliau tidak pernah terfikir untuk diletakkan sebagai penjual atau pelaris sesebuah naskhah.

"Dari dulu saya tidak pernah terfikir orang letakkan saya sebegitu (penjual naskhah). Bila dibayar gaji untuk sesuatu watak, saya cuba jayakan seikhlas yang boleh.

"Bagi saya kalau penerbit beritahu saya penjual naskhah, itu adalah strategi mereka. Kalau betul saya masih dilihat sebegitu pada usia begini, hanya rasa syukur yang dapat dikatakan," ujarnya.

Remy bersama barisan pelakon The Secret.

Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam The Secret, Remy mengakui agak skeptikal pada awalnya untuk menerima tawaran kerana plot penceritaan yang agak tabu untuk dikembangkan.

Bagaimanapun sebagai pelakon, beliau melihat projek ini sebagai tanggungjawab daripada seorang pelakon selain memberikan hiburan.

"Siri ini mengangkat mengenai rogol, buli siber, yang kebetulan sedang hangat diperkatakan sekarang.

"Walaupun kisah sebegini mungkin penonton tidak tertarik sangat, tetapi saya rasa The Secret akan menyumbang sesuatu pada masyarakat. Atas sebab itu, saya bersetuju untuk menjayakan watak sebagai pensyarah bernama Amir," katanya.

Selain Remy, naskhah 8 episod arahan Jason Chong itu turut dibintangi Siti Saleha, Ellyza Azizi, Sara Mack Lubis, Ucop, Nadiya Nisaa, Fatimah Abu Bakar, Amir Nafis, dan Lorenzo Irmann.