KLUANG - UMNO dijangka mengumumkan selewat-lewatnya nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 7 September depan.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, satu pertemuan dengan komponen parti BN serta UMNO Johor bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dilakukan petang Isnin di Johor Bahru.
Menurut beliau, pada sebelah malam juga akan diadakan pertemuan bersama ke pimpinan Pakatan Harapan (PH).
"Segala kenyataan berkaitan PRK Mahkota hanya dapat dimaklumkan selepas itu kerana perlu mengikut garis panduan ditetapkan oleh Presiden," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat dan meninjau pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 1 di Kluang, pada Isnin.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berpuas hati dengan perlembagaan projek pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan Tunku Mahmood 1 yang sudah mencapai 36 peratus dan 17 peratus dari jadual sebenar.
Jelasnya, perkembangan ini akan membolehkan kantin di sekolah ini dapat digunakan oleh kira-kira 800 orang murid serta 57 orang guru serta kakitangan sebaik sahaja sekolah dibuka tahun depan.
"Kita amat berharap pasukan pengurusan projek dan pembinaan dapat mengekalkan momentum ini dan menepati mutu ditetapkan dari segi kualiti, kos dan masa," katanya.