KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melaporkan kes kematian kedua akibat strok haba di negeri ini apabila seorang lelaki meninggal dunia di sini pada Ahad.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, mangsa berusia 20-an dari Kuantan telah menyertai program larian sekitar Teluk Chempedak di sini pada Sabtu.
"Mangsa dipercayai telah pergi ke Bukit Pelindung untuk aktiviti larian mendaki bermula pada jam 6.40 pagi.
"Mangsa dijumpai tidak sedarkan diri oleh orang awam di kawasan laluan trek pejalan kaki Hutan Bukit Pelindung pada jam 3 petang.
"Mangsa kemudian terus dikejarkan ke HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) di sini untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, mangsa tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAA dalam keadaan kritikal dan kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Jelasnya, keadaan mangsa semakin tenat walaupun rawatan optimum telah diberikan dan mangsa meninggal dunia pada jam 9.39 malam Ahad, dengan sebab kematian adalah 'heatstroke with multi organ failure'.
"Sebagai makluman, kes kematian pertama akibat strok haba di negeri Pahang telah berlaku pada 2 Februari 2024 melibatkan anggota APM (Angkatan Pertahanan Awam) yang sedang menjalani latihan di Bandar Jengka, Maran.
"Sehingga kini jumlah kes berkaitan cuaca panas yang dinotifikasi di Pahang pada 2024 adalah 18 kes yang mana 14 kes melibatkan kelesuan haba dan empat kes melibatkan strok haba dengan dua kematian," tambah Dr Rusdi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu harian bagi negeri Pahang adalah dalam keadaan terkawal iaitu kurang daripada 35°C.
"Julat suhu pada hari kejadian adalah dalam lingkungan 24 hingga 33°C. Jabatan ini ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak komplikasi berikutan cuaca panas lebih-lebih lagi apabila beriadah atau menjalankan aktiviti luar," jelasnya lagi.
Ujarnya, antara langkah yang boleh diambil adalah seperti minum air kosong secukupnya, kurangkan pengambilan minuman berkafein, pakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang.
"Selain itu, orang ramai boleh menggunakan topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba matahari serta gunakan pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan supaya kekal sihat di musim cuaca panas dan tidak menentu ini," katanya.