Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 tingkat kerjasama Malaysia- Brunei

Iklan
Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama delegasi Malaysia dan Brunei selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman dan instrumen dua hala Malaysia-Brunei di Istana Nurul Iman pada Isnin. Foto Bernama

BANDAR SERI BEGAWAN, - Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia dan Brunei di Istana Nurul Iman pada Isnin berjaya meningkatkan hubungan kerjasama antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dalam usaha meneruskan hubungan baik antara Malaysia dan Brunei, kerajaan tidak boleh menafikan peranan pemimpin terdahulu dalam mengekalkan hubungan itu.

Bagaimanapun dalam meneruskan kerjasama itu, beliau berkata, kerajaan mempunyai pendekatan berbeza bagi memastikan hubungan Malaysia dan Brunei mampu memberikan impak yang lebih berkesan untuk kedua-dua negara.

Iklan

"Ada dua aspek, satu kita bertekad untuk tingkatkan hubungan itu dalam semua bidang yang mungkin, dan kedua kita ada juga pendekatan yang agak berganjak daripada pendekatan dahulu, kita minta hubungan langsung dalam beberapa aspek walaupun tertakluk kepada keputusan muktamad (Kerajaan) Persekutuan, antaranya hubungan langsung di antara Brunei, Sabah dan Sarawak.

"Ini pendekatan praktikal kerana di sempadan juga, (ada) keperluan ditingkatkan hubungan pengangkutan dan pelancongan, (agar ia) boleh dimanfaatkan oleh Brunei dan Malaysia,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Iklan

Turut hadir pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Terdahulu Perdana Menteri yang menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia di sini, menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman di sini.

Mengulas lanjut mengenai hubungan kerjasama itu, Anwar berkata, Malaysia dan Brunei bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya pelancongan, pendidikan, pelaburan, sastera, teknologi dan ketenteraan.

"Saya juga akan hubungi kerajaan negeri Sarawak dan Sabah supaya kerjasama (dari) segi ini yang mencakupi beberapa bidang lain itu juga dapat ditingkat... antara dipersetujui kerjasama bidang pelancongan terutama Brunei, Sabah dan Sarawak," katanya.

Anwar berkata, dalam soal bidang pendidikan dan pendidikan tinggi, beberapa perkara telah dirunding bagi melaksanakan pelbagai program kerjasama antaranya pertukaran profesor, pensyarah, pelajar dan mahasiswa, selain meneroka kerjasama dalam bidang kajian.

Beliau berkata, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Malaysia juga bersetuju untuk membantu Brunei dalam memberi latihan kepimpinan pengajian tinggi selain membantu meningkatkan tahap kecemerlangan institusi pengajian tinggi di negara tersebut.

Perdana Menteri berkata, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) juga akan menawarkan program latihan kenderaan elektrik (EV) kepada belia dari Brunei, selain Dewan Bahasa dan Pustaka akan memperkasakan kerjasama dengan Brunei dalam bidang Bahasa Melayu Malaysia dan Brunei.

"Latihan (lain adalah) dalam bidang baharu peralihan tenaga, digital, semi konduktor melalui GLC (badan bukan kerajaan), kerajaan dan sektor swasta. Jadi kita beri jaminan kerjasama untuk mendapatkan penyertaan anak muda Brunei melalui keupayaan kita," katanya.

Anwar berkata, hubungan kerjasama dalam ketenteraan juga ditingkatkan, antaranya membabitkan pertukaran latihan Malaysia dan Brunei termasuk melibatkan program pertukaran pegawai antara dua negara serta sesi latihan bersama.

Anwar turut menjunjung kasih kepada Sultan Hassanal Bolkiah di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam carigali dan pengeluaran minyak serta gas di negara itu.

"Ini suatu pendekatan yang hanya mungkin berlaku bila dua negara ini bersahabat akrab," katanya.

Perdana Menteri tiba di sini semalam untuk lawatan kerja dua hari bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia dan Brunei, satu mekanisme peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara. - Bernama