Penduduk Pulau Kulapuan, Semporna dapat generator elektrik

Iklan
Wakil USIM menyerahkan lampu solar dan kipas kepada Ketua Kampung Pulau Kulapuan, Alawi Malik (dua dari kiri) di Semporna, Sabah baru-baru ini.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Pergigian (Fpg) menyumbang generator elektrik kepada penduduk Pulau Kulapuan, Semporna, Sabah menerusi satu program Kesejahteraan dan Ihsan Komuniti Madani 2024.

Program berkenaan anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (PMFKP) USIM dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (Permanis), Persatuan Mahasiswa Selangor (Permas) serta Pertubuhan Semporna Prihatin.

Iklan
Iklan

Setiausaha Permanis, Noor Asyiqin Mohd Kamarudin berkata, sumbangan generator elektrik itu termasuk empat kipas solar dan dua lampu solar.

"Selain kipas dan lampu solar, USIM juga menyumbangkan sebanyak 120 bakul makanan asasi kepada penduduk kampung di Pulau Kulapuan.

Iklan

"Sumbangan berbentuk duit juga diberikan kepada Rumah Ngaji Kulapuan sebanyak RM200,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut meluahkan rasa syukur kepada Yayasan Negeri Sembilan yang telah menyumbangkan tajaan RM10,000 bagi menjayakan program kesejahteraan berkenaan.

Iklan

Sementara itu, Presiden Permas, Mirza Ariffin memaklumkan bahawa program tersebut turut melaksanakan modul, aktiviti dan motivasi kekeluargaan seperti pendidikan fardu ain, 3M (membaca, menulis, mengira).

Seterusnya, acara motivasi kekeluargaan, ekonomi, kesihatan dan kesejahteraan, kesenian dan sukaneka.

Menurutnya, program tersebut turut menyediakan perkhidmatan rawatan pergigian yang dilaksanakan oleh Fpg USIM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Sabah kepada penduduk kampung berkenaan.

Salah seorang peserta program, Mazsuriyani Mohamed, 23, berkata, acara sedemikian secara tidak langsung memberi pendedahan kepada mahasiswa membina kemahiran insaniah, sifat keprihatinan dan pengurusan dalam kalangan penuntut serta sukarelawan terhadap masyarakat.

Tambah Mazsuriyani, dia turut berharap agar aktiviti itu dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.