PERSATUAN Renang Amatur Terengganu (PRAT) memohon maaf berhubung kesilapan menghantar atlet terjun wanita beragama Islam pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 baru-baru ini.
Presiden PRAT, Datuk Toh Chin Yaw berkata, pihaknya bertanggungjawab penuh terhadap isu yang menimbulkan rasa kurang senang dalam masyarakat di negara ini.
Beliau menambah sebelum ini pihaknya telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) untuk berbincang tentang syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan negeri.
"Dalam pertemuan sebelum ini, kita memohon untuk menghantar atlet-atlet ini ke Sukma kerana mereka telah lama berlatih dan menyertai kejohanan di luar negara melalui persatuan.
"Tetapi untuk Sukma kali ini kita hantar atlet melalui inisiatif PRAT sendiri dengan peruntukan dan tanggungan persatuan serta ibu bapa atlet tersebut,” katanya seperti dipetik melalui portal rasmi kerajaan negeri di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Chin Yaw berkata, pihaknya juga salah faham mengenai isu kod pakaian memandangkan pakaian tersebut diseragamkan di peringkat antarabangsa pada mana-mana kejohanan.
"Kerajaan negeri sentiasa memberi peringatan mengenai pakaian dalam sukan tersebut apabila melibatkan atlet Muslim.
"Kami pula salah faham tentang isu kod pakaian dan ingatkan ia perkara biasa sahaja kerana pakaian itu diseragamkan di peringkat antarabangsa dalam mana-mana kejohanan, sehinggalah ia menjadi isu barulah kami sedar kesilapan dilakukan.
"Pengurus pasukan selalu berbincang dengan Exco kerajaan negeri dan isu mengenai pakaian sering ditekankan. Jadi kami fikir pakaian yang telah ditetapkan oleh Badan Renang negara dan dunia itu tiada masalah,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Sukan Terjun, Foo Wai Choo mengakui Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Karim sudah melarang pihaknya menghantar atlet wanita beragama Islam ke Sukma dalam acara terjun kerana ia menyalahi kod etika pakaian.
"Selepas ini kami akan cuba untuk mencari bakat daripada kalangan bukan Islam sebagaimana dibenarkan kerajaan negeri,” ujarnya.
Bagi Hishamuddin pula, pihaknya tidak menghalang penglibatan atlet bukan Islam untuk menyertai sukan terjun.
Menurutnya, atlet bukan Muslim berkenaan turut akan diletakkan dalam program pembangunan sukan Terengganu selain akan diberi sokongan oleh kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Hishamuddin menyeru kepada semua pihak supaya tidak menyalahkan sepenuhnya pada pihak PRAT.
"Dalam isu yang telah tular ini diharapkan agar semua pihak tidak 100 peratus menyalahkan persatuan.
"Isu ini ada hikmahnya di mana kita boleh melihat rakyat menyokong penuh garis panduan sukan yang diperkenalkan kerajaan negeri. Ia sangat berbeza dengan Sukma 2022 dahulu di mana kita dikecam sewaktu kerajaan tidak membenarkan atlet wanita Islam sertai gimnastik.
"Namun sekarang berbeza apabila dikecam kerana didakwa menghantar atlet wanita Islam sertai acara terjun. Jadi yang lemah kita perbaiki dan yang baik kita teruskan,” ujarnya.
Sebelum ini, portal media tempatan melaporkan berkenaan penyertaan dua atlet wanita Muslim yang mewakili Terengganu dalam sukan terjun pada Sukma 2024 meskipun sebelum ini penyertaan atlet gimnastik wanita Muslim dihalang atas alasan pemakaian tidak patuh syariah.
Susulan itu, Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Wan Hasbi Wan Ahmad menyifatkan kerajaan negeri gagal menonjolkan atlet Muslim patuh syariah walaupun sering menguar-uarkan aspek tersebut termasuk menyekat penyertaan atlet gimnastik wanita ke Sukma.
Bagaimanapun, Hishamuddin menjelaskan penyertaan atlet terjun wanita beragama Islam Sukma Sarawak 2024 dihantar oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu tanpa pengetahuan dan kebenaran daripada kerajaan negeri.
Hishamuddin berkata, MSNT mengesahkan penyertaan atlet terjun wanita Muslim itu telah dihantar oleh persatuan berkenaan di bawah perbelanjaan sendiri dengan memohon kuota Terengganu.