JOHOR BAHRU - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan berlaku pergelutan antara sayap wanita dan pemuda parti itu berhubung calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, soal calon masih lagi diperincikan bagi memastikan kemenangan dan diterima pengundi.
Namun, jelasnya calon UMNO yang akan ditampilkan kelak, perlu memiliki ciri-ciri WALI iaitu boleh menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable).
"Tak ada perebutan (calon PRK DUN Mahkota) kerana yang menentukan adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN),l
"Soal calon belum dimuktamadkan kerana ada beberapa proses yang akan kita teliti kerana parti parlukan calon yg ada ciri WALI ertinya boleh menang dan diterima pengundi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar kediaman rasmi Menteri Besar Johor, di Saujana di sini, pada petang Isnin.
Sebelum itu, Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat khas PRK DUN Mahkota dihadiri Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan 26 Ketua Bahagian UMNO.
Pada Khamis, Wanita UMNO menuntut supaya calon yang bertanding bagi PRK, DUN Mahkota dipilih daripada sayap berkenaan.
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ia bagi meneruskan legasi penyandang yang juga Exco Wanita UMNO Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
Pemuda UMNO turut menyatakan kesediaan sekiranya calon daripada sayapnya diberi kepercayaan sekali lagi bertanding pada PRK berkenaan.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia selepas calon muda yang ditampilkan pada PRK DUN Nenggiri, Kelantan berjaya menang besar baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden BN berkata mesyuarat bersama komponen Pakatan Harapan (PH) Johor akan membincangkan persiapan PRK DUN Mahkota.
Katanya, ia susulan DUN Mahkota terletak di dalam Parlimen Kluang, di mana wakil rakyatnya Wong Shu Qi daripada DAP dan DUN Mengkibol diwakili Chew Chong Sin daripada DAP.
"Oleh kerana jumlah pengundi di DUN Mahkota iaitu tiga kali ganda daripada PRK DUN Nenggiri maka lain padang lain belalang.
"Ia bermaksud pendekatan harus berbeza kerana terdapat 34 peratus pengundi berbangsa Cina di DUN Mahkota berbanding DUN Nenggiri hanya 19 orang sahaja.
"PH juga ada peranan begitu juga dengan MCA dan MIC. Di DUN Mahkota juga ada lapan peratus pengundi berbangsa India. Maka kita akan santuni bersama-sama rakan dalam Friends BN," katanya.
Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK Dun Mahkota adalah seramai 66,318 orang dengan 61,397 daripadanya adalah pengundi biasa, 401 anggota polis, 4,510 anggota tentera dan pasangan serta 10 orang pengundi tidak hadir luar negara.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi Dun Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.
Daripada 66,318 pengundi di Dun Mahkota, 52 peratus adalah pengundi muda yang berusia 39 dan ke bawah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini. Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu.