SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan keputusan mengenakan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mereka mendakwa pemimpin parti itu hanya menyatakan fakta dan kebenaran.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan tersebut adalah tidak berasas kerana menyatakan fakta tanpa berkecenderungan menghasut tidak boleh dianggap satu kesalahan.
Menurutnya, ucapan Muhyiddin disampaikan secara beralas tanpa mengandungi sebarang unsur provokasi.
Beliau menegaskan, malah Muhyiddin di dalam ucapannya secara jelas menyebut bahawa beliau tidak mahu mengatakan apa-apa perkara buruk mengenai raja.
"Beliau menyebut ‘tidak mengapalah’membuktikan bahawa ucapan itu tidak bertujuan menghasut rakyat terhadap raja.
"Sebaliknya hanya menyatakan fakta secara sepintas lalu bahawa beliau telah mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan pada 21 November 2021. Namun begitu, beliau tidak dititah menghadap untuk mengangkat sumpah.
"Beliau kemudiannya mengemukakan bukti 115 Akuan Bersumpah Ahli Parlimen kepada pihak polis semasa disoal siasat oleh polis," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Muhyiddin akan didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Gua Musang dekat sini esok susulan ucapan dalam ceramahnya yang dipercayai menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Tambah Ahmad Faizal, semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin kerajaan sekarang menjadi pembangkang, mereka lantang menentang Akta Hasutan 1948 dengan berbagai-bagai cemuhan.
Katanya, malah mereka memperjuangkan pemansuhan akta ini yang dianggap zalim.
"Kini, setelah menjadi kerajaan, mereka galak menyalahgunakan Akta Hasutan 1948 yang mereka sendiri kata sebagai zalim untuk menekan dan menindas lawan politik.
"Namun, merekalah sebenarnya zalim, Muhyiddin dikenakan pendakwaan terpilih bagi kesalahan yang diada-adakan terhadapnya dengan menggunakan akta yang mereka sendiri kata zalim," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional serta Ketua Ahli-ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional.
"Saya mewakili seluruh kepimpinan di semua peringkat dan ahli-ahli akan terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Muhyiddin.
"Kami juga akan tetap memegang prinsip untuk terus memelihara, mempertahan dan mendukung dengan seluruh jiwa raga akan kedaulatan institusi Raja- Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan.
"Semoga ALLAH SWT mengurniakan rahmatnya buat kita semua. Kepada ALLAH SWT, kita berserah," ujarnya.