Minimumkan risiko ketika operasi bomba

Iklan
Pasukan JBPM antara yang sentiasa berada di hadapan setiap kali banjir melanda. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan sentiasa berusaha menambah baik kebajikan buat semua warga kerjanya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, penambahbaikan itu termasuklah meminimumkan risiko yang dihadapi dalam setiap operasi dijalankan.

Iklan
Iklan

"Pada masa sama, jabatan turut berharap agar kerajaan terus memberikan perhatian dalam menambah baik perkhidmatan JBPM," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Nor Hisham

Sinar Harian menerusi laporan khas yang disiar pada Isnin memaklumkan, rekod rasmi jabatan yang turut digelar sebagai 'celoreng merah' itu menyenaraikan seramai 25 anggota mereka di seluruh negara terkorban ketika bertugas sejak 1984.

Iklan

Kes pertama ialah pada 1 Januari 1884 melibatkan anggota Mohd Adzaman Hassan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Kelantan.

Laporan akhbar ini juga turut menyentuh pelbagai kisah termasuk cabaran yang terpaksa dilalui anggota dan pegawai pasukan penyelamat tersebut ketika bertugas.

Iklan

Sementara itu, Nor Hisham turut menghargai laporan yang disiar akhbar ini yang disifatkan sebagai penghargaan hingga menyentuh hati dan perasaan seluruh pasukannya.

Menurutnya, penulisan tersebut juga turut mengingatkan seluruh warga kerja JBPM mengenai tanggungjawab digalas serta hakikat pekerjaan yang sememangnya tidak dapat lari daripada sebarang risiko.

Beliau dalam masa sama menegaskan, jabatan diterajuinya juga sentiasa mengenang segala jasa dan pengorbanan ahli pasukan khususnya yang meninggal ketika menjalankan tugas masing-masing.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.

"Pengorbanan oleh mereka yang telah pergi meninggalkan kita ini sentiasa kami sematkan di dada dan kita sampaikan kepada generasi pegawai dan anggota bomba yang bertugas sekarang.

"Pemergian mereka juga sentiasa kami kenang lebih-lebih lagi menerusi pelbagai aktiviti-aktiviti dalaman jabatan seperti majlis tahlil serta Hari Anggota Bomba Sedunia yang disambut setiap tahun yang pastinya ada menyentuh isu pengorbanan pegawai kami dan pada masa sama turut mengingatkan kami bahawa perkhidmatan ini sangatlah berisiko tinggi," katanya.

Jelasnya, iktibar daripada daripada pengorbanan pegawai dan anggota yang terkorban itu juga turut dijadikan sebagai asas dalam penyelarasan kebajikan keluarga mereka.

Beliau berkata, ia dibuktikan dengan penubuhan Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN), Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KBKB), Takaful Berkelompok Pegawai Sepenuh Masa yang dibentuk khas untuk menjaga kebajikan waris serta pegawai-pegawai yang memerlukan.