Terkorban ketika bertugas syahid akhirat

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.

SHAH ALAM - Kematian yang menimpa anggota bomba sewaktu bertugas sama ada kebakaran atau lemas boleh dianggap sebagai syahid akhirat.

Pensyarah Kolej Pengajian Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Husaini Jamil berkata, kematian disebabkan oleh wabak dan penyakit dalaman tubuh badan juga dianggap sebagai syahid akhirat.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, terdapat tiga kategori syahid iaitu syahid dunia dan akhirat, syahid akhirat sahaja dan syahid dunia sahaja.

"Syahid akhirat ini berlaku disebabkan oleh penyakit dan hal-hal yang disebut dalam hadis seperti kematian wabak taun, mati lemas dan mati dalam insiden kebakaran.

Iklan

"Bagaimanapun, syahid dunia dan akhirat pula berbeza kerana kematian mereka berlaku semasa pertempuran jihad di jalan ALLAH yang diiktiraf sah oleh para ulama," katanya.

Namun katanya, kategori syahid dunia pula sedikit sukar untuk dikenal pasti.

Iklan

"Terdapat sebahagian riwayat mengatakan apabila seseorang itu sertai pertempuran jihad dan terkorban tetapi tujuannya untuk mencuri harta rampasan perang atau riak, mereka tidak mendapat ganjaran akhirat.

"Ulama menyatakan bahawa mereka diuruskan seperti syuhada di dunia sahaja dan tidak termasuk kategori syahid akhirat,” katanya.

Sinar Harian menerusi laporan khas yang disiar pada Isnin memaklumkan, rekod rasmi jabatan yang turut digelar sebagai 'celoreng merah' itu menyenaraikan seramai 25 anggota mereka di seluruh negara terkorban ketika bertugas sejak 1984.

Mengulas lanjut, menurut Khairil Husaini, kaedah pengurusan jenazah bagi syahid akhirat perlu dilakukan seperti biasa mengikut syarak.

Ujarnya, keadaan tersebut berbeza dengan kematian syuhada sewaktu bertempur di medan jihad yang muktabar kerana diuruskan secara khusus.

"Pada asasnya, semua orang Islam yang meninggal dunia dengan persaksian kalimah syahadah juga dianggap syahid, namun berbeza martabatnya jika mati di jalan ALLAH," ujarnya.

Katanya, martabat syahid juga berbeza mengikut keikhlasan hubungan dengan ALLAH.

"Keadaan yang paling utama ialah persaksian hati secara berterusan terhadap kebesaran ALLAH kerana martabatnya sangat tinggi meskipun mereka meninggal dunia tanpa melalui kejadian serta keadaan yang disebutkan tadi,” katanya.