[VIDEO] Remaja lelaki didakwa bunuh Nuraina Humaira

Iklan

SUNGAI SIPUT - Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Selasa atas pertuduhan membunuh kanak-kanak perempuan Orang Asli, dua minggu lalu.

Tertuduh berusia 17 tahun itu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Nuraina Humaira Rosli, 10, di kawasan berpaya Kampung Bersah, Pos Kuala Mu dekat Lasah antara jam 2.30 petang hingga 5 petang pada 16 Ogos lalu.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, RS Vitthiyeswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia, patalogi, laporan prestasi pelajar dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Iklan
Remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Selasa.

Media melaporkan, polis menahan reman seorang remaja lelaki yang juga saudara terdekat mangsa pada 19 Ogos lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak berkenaan dirogol dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di kawasan mangsa ditemui.

Perkara itu hasil laporan bedah siasat yang menemui kesan koyakan pada kemaluan dan kecederaan akibat tekanan pada bahagian leher mangsa.

Mayat murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di kampung berkenaan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 16 Ogos lalu.

Remaja lelaki dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput selepas didakwa atas pertuduhan membunuh Nuraina Humaira, dua minggu lalu.

Ringkasan berita:

  • Mangsa: Nuraina Humaira, 10 tahun, kanak-kanak Orang Asli.
  • Pelaku: Remaja lelaki, 17 tahun, didakwa membunuh.
  • Lokasi: Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Lasah.
  • Pertuduhan: Seksyen 302 Kanun Keseksaan; hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dengan sebatan.
  • Siasatan: Polis menyiasat kemungkinan mangsa dirogol dan dibunuh; kesan koyakan pada kemaluan dan kecederaan pada leher ditemukan.
  • Mayat: Ditemui terbaring di kawasan berpaya pada 16 Ogos setelah dilaporkan hilang.
Dijana oleh AI