Gelap mata dengan pulangan lumayan, lelaki rugi lebih RM120,000

Iklan
Mangsa telah membuat sembilan transaksi bayaran ke lima akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM123,470.04. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Mohd Sohaimi)

JOHOR BAHRU - Gelap mata dengan pulangan lumayan skim pelaburan saham dalam talian, seorang lelaki akhirnya terpaksa menanggung kerugian lebih RM120,000 apabila terjebak melabur dengan sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu menerima pesanan yang menawarkan skim pelaburan dalam talian berkenaan melalui aplikasi WhatsApp.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa kemudiannya tertarik untuk mencuba dan telah memuat naik aplikasi terbabit selain mendaftarkan diri dengan mengisi maklumat peribadinya.

"Mangsa kemudiannya telah membuat sembilan transaksi bayaran ke lima akaun bank berbeza antara 1 Ogos hingga 22 Ogos lalu dengan jumlah keseluruhan RM123,470.04.

Iklan

"Dalam tempoh berkenaan, mangsa cuba menuntut keuntungan yang dijanjikan, namun suspek telah memberikan pelbagai alasan dan mengarahkan mangsa membuat bayaran tambahan.

"Mangsa yang menyedari telah ditipu kemudiannya membuat laporan polis berhubung perkara terbabit,” katanya.

Iklan

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari (1) tahun dan tidak lebih dari (10) tahun, dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Siasatan juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat.