KUALA LUMPUR - Komitmen kerajaan membawa 41 rakyat Palestin yang cedera diiringi waris mereka untuk dirawat di negara ini tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana ia dilakukan atas dasar kemanusiaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, walaupun usaha kerajaan ini kelihatan kecil, namun ia sebenarnya secara tidak langsung membuka mata dunia tentang kepayahan yang ditanggung rakyat Palestin.
"Hal ini bukan isu agama, tetapi lebih kepada isu kemanusiaan. Kalau ikutkan, mereka ini tiada negara ... mereka tiada apa-apa untuk dapatkan bantuan terutama bagi kesihatan, kembali kepada kehidupan biasa.
"Malaysia sebagai sebuah negara patut bantu atas sifat kemanusiaan, tiada institusi lain yang bantu, jadi apa salahnya Malaysia membantu dengan kelebihan yang ada," katanya kepada Bernama.
Kamarul Zaman berkata, rakyat Malaysia juga tidak perlu risau kerana negara ini sentiasa mengutamakan rakyatnya yang dalam kesusahan untuk dibantu menerusi pelbagai saluran dan inisiatif yang dilakukan kerajaan.
"Kalau ada kumpulan yang nak kerajaan fokus kepada rakyat Malaysia, bantuan itu sudah ada. Jadi, usaha ini kecil yang boleh kita buat untuk tunjukkan kepada dunia, kita cuba mendidik masyarakat dunia bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk sokong dan bantu (rakyat Palestin),” katanya.
Beliau berkata, tidak timbul isu rakyat Palestin yang dibawa ke negara ini tidak mahu pulang ke tempat asal mereka memandangkan semangat mereka begitu tinggi ingin membebaskan negara daripada cengkaman rejim Zionis.
Pendapatnya itu turut disokong Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang berkata, tidak timbul isu kerajaan mengeluarkan rakyat Palestin dari tanah air yang sepatutnya mereka pertahankan.
"Pertikaian itu adalah tidak patut memandangkan saudara-saudara kita di sana memang terdesak memerlukan bantuan. Tidak ada isu kita keluarkan rakyat Palestin dari tanah air yang sepatutnya mereka pertahankan kerana penduduk yang kita bantu ini memang sudah ada di Mesir dan mereka ialah orang yang cedera dan tidak boleh lakukan apa-apa.
"Yang kedua, apa yang dilakukan oleh kerajaan ialah tanda keprihatinan dan kemanusiaan yang sepatutnya boleh mengangkat negara kita ke persada dunia. Ia juga sebenarnya satu bentuk soft diplomacy iaitu diplomasi melalui kemanusiaan,” katanya.
Pada 16 Ogos lepas, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa rakyat Palestin yang cedera bersama waris mereka selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Bagaimanapun, usaha murni Malaysia itu dikecam dan dikritik sesetengah pihak sehingga mengundang kekecewaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Bader Syam pula berkata, tujuan membawa rakyat Palestin ke Malaysia semata-mata untuk rawatan perubatan dan bukan bagi tujuan lain seperti menetap di negara ini secara kekal.
"Kami ialah orang yang setia pada tanah air kami dan berusaha serta berjuang untuk kembali dan membebaskan Palestin daripada pendudukan Zionis,” katanya sambil menambah kehadiran rakyat Palestin itu adalah untuk sementara waktu dan akan pulang selepas rawatan diberikan selesai.
Beliau turut berkongsikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga daripada rakyat Palestin, yang telah mengalami penderitaan amat besar, namun masih kekal bertahan hingga kini. - Bernama