Long Covid halang jutaan rakyat AS sertai tenaga buruh - Laporan

Iklan
Long Covid telah menyebabkan kira-kira sejuta rakyat AS terkeluar daripada menyertai tenaga buruh negara itu. Gambar hiasan 123RF

NEW YORK - Sindrom Covid berpanjangan atau Long Covid telah menyebabkan kira-kira sejuta rakyat Amerika Syarikat (AS) terkeluar daripada menyertai tenaga buruh negara itu, menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada Isnin, lapor Xinhua.

Laporan yang memetik ahli ekonomi itu menyatakan lebih lima peratus orang dewasa di AS mengalami long Covid, paling banyak berlaku dalam kalangan rakyat Amerika yang berada pada usia bekerja.

Iklan
Iklan

"Tidak pernah sebelum ini begitu ramai rakyat Amerika mengubah hubungan mereka dengan pekerjaan akibat satu krisis kesihatan awam.

"Lebih empat tahun selepas pandemik bermula, ada yang masih bergelut untuk mengimbangi kehidupan dan kerjaya mereka dengan Long Covid, keadaan kronik yang masih cuba difahami oleh doktor,” menurut laporan itu.

Iklan

Menurut laporan itu, individu yang berada di puncak kerjaya dalam bidang kewangan, teknologi dan kesihatan kini berhadapan dengan ketidakpastian sama ada mereka boleh meneruskan laluan kerjaya yang pernah dirancang sebelum ini.

Selain itu, kira-kira 3.6 juta orang melaporkan telah mengubah suai aktiviti mereka secara ketara akibat penyakit berkenaan, berdasarkan tinjauan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Iklan

Menurut CDC, Long Covid ialah keadaan kronik dengan gejala yang berlarutan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas jangkitan Covid.

Gejala itu termasuk keletihan, perubahan dalam ingatan, sesak nafas dan masalah untuk memberi tumpuan.

Long Covid boleh menjadikan tugas yang semudah membalas e-mel menjadi sukar, kata mereka yang mengalami keadaan itu. Mereka bergelut untuk mencari perkataan yang sesuai atau menguruskan tekanan. - Bernama-Xinhua